MyMetroArena
BERNAMA
BEKAS penyerang prolifik kebangsaan dan pemenang kasut emas Piala AFF 2010,
Safee Sali sesekali tidak pernah padam keinginannya untuk menyarung jersi skuad
Harimau Malaya.
Penyerang pasukan PJ City FC itu menafikan beliau kini berada di penghujung
kariernya dan menegaskan sedia dipanggil semula untuk membantu menguatkan
jentera serangan pasukan negara yang kini dalam misi untuk layak ke pusingan
akhir Piala Asia 2023.
"Saya pernah cakap mengenai perkara ini dan ia masih sama. Keinginan
itu masih ada kerana saya masih lagi bermain dan saya masih aktif dalam karier.
"Saya juga tidak pernah menyatakan untuk memadam hasrat daripada
bermain untuk skuad kebangsaan.
"Selagi saya bermain, selagi saya masih boleh menyumbangkan sesuatu
dalam permainan bola sepak untuk negara, saya sedia untuk dipanggil jika diberi
peluang," katanya.
Penampilan terakhir Safee bersama skuad kebangsaan adalah ketika Malaysia
mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Filipina dalam aksi persahabatan pada Mac
2017.
Safee yang pernah beraksi bersama beberapa kelab antaranya Selangor, Pelita
Jaya FC (Indonesia), Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC sudah mencetak 23 gol
sepanjang 79 penampilannya bersama skuad kebangsaan.
Dengan pengalaman luas dimiliki, beliau optimis mampu menyumbang sesuatu
terutama di posisi penyerang utama skuad kebangsaan.
"Sumbangan itu mungkin dari segi pengalaman saya dan dari segi
permainan di posisi yang saya bermain (penyerang utama). Saya tengok seperti
ada kekosongan (dalam skuad kebangsaan), jadi kenapa tidak," katanya.
Sementara itu, beliau berkata tahap kecergasannya berada di tahap yang baik
meskipun aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 ditangguhkan sehingga September
depan.
"Saya cuba untuk kekalkan tahap kecergasan sebelum latihan sebenar
bermula nanti dan sebagai pemain kami memang ikut program latihan disediakan
jurulatih. Tetapi sentuhan bola di rumput padang memang saya sebagai pemain
sangat rindukan sekarang," katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 5:29 PM
No comments:
Post a Comment