MyMetroArena
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my
BEKAS bintang bola sepak negara dan Kedah Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini fokus mempromosikan Nasi Arab AR14 di kawasan Jitra dan Kubang Pasu sepanjang ramadan dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau yang juga Penolong Ketua Jurulatih skuad Pulau Pinang berusia 38 tahun berkata, penjualan Nasi Arab AR 14 secara dalam talian ini memberi rezeki tambahan buat dirinya dan keluarga.
"Sejak ramadan bermula Jumaat lalu, saya kini mula memperkenalkan jualan Nasi Arab AR14 di mana saya usahakan bersama sepupu saya di kawasan Jitra dan Kubang Pasu.
Nasi Arab resepi ayam ala Melayu ini berharga RM8 dan apa yang menariknya adalah menunya disertakan dengan air asam yang memang terbaik dan kuah dalca yang sudah menjadi kegemaran ramai.
"Nasi Arab ini dikenali sebagai Nasi Arab AR 14 yang mana ia sesuai dengan imej diri saya dalam dunia bola sepak dan melalui maklum balas daripada pelanggan, mereka cukup berpuas hati." kata Akmal Rizal yang memaklumkan, semua penghantaran dilakukannya bermula jam 4.30 petang di sekitar Jitra dan Kubang Pasu dan pihaknya juga boleh menguruskan penghantaran sekitar Alor Setar.
"Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan, mereka akan menghubungi saya melalui whatsapp atau laman Facebook dan Instagram sebelum 1 tengah hari".
"Selain Nasi Arab AR14 ini, saya juga akan memulakan penjualan dan penghantaran kuih raya bermula pada minggu kedua bulan ramadan ini."
"Ada 12 jenis kuih raya yang popular akan saya pasarkan melalui media sosial dan antaranya adalah Tat Nenas, Biskut Mazola dan banyak lagi kuih yang jarang orang buat, tapi saya akan menjualnya." katanya.
Menyentuh mengenai perkembangan semasa Liga Malaysia (Liga M) yang ditangguhkan akibat wabak pandemik Covid-19, Akmal Rizal berharap tempoh PKP yang sedang berlangsung ini akan segera menemui noktah apabila keadaan kembali selamat dan pada masa sama mendoakan kejayaan Malaysia dalam memerangi wabak bahaya ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 2:03 PM
No comments:
Post a Comment