BERITA»Nasional
Sabtu, 25 April 2020 | 12:06pm
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri
Zainul Abidin.Foto/ NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
"Ebit Lew jangan simpan
dalam hati"
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
KANGAR: Pendakwah terkenal, Ustaz
Ebit Lew dinasihat supaya tidak menganggap ujian yang menimpanya ketika ini
sebagai faktor untuk tidak lagi meneruskan kerja kebajikan.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri
Zainul Abidin, berkata Ebit Lew tidak perlu menyimpan segala kritikan dan
tohmahan pihak tertentu di dalam hati sehingga boleh menjejaskan usaha yang
dilakukannya selama ini.
"Ebit Lew tidak perlu nak
simpan dalam hati sangat benda yang macam itu (tohmahan pihak tertentu).
"Jika dia ikhlas membantu
orang, pasti tidak ada masalah (yang timbul) dan jangan disimpan kerana di
dalam dunia ketika ini memang sudah lumrahnya macam itu.
"Sudah lumrah apabila
manusia melihat seseorang itu melakukan perkara yang baik, pasti mereka akan
memberikan pandangan atau kritikan. Malah penyanyi yang tugasnya menghiburkan
orang pun tidak terlepas dari dikritik," katanya dalam kuliah yang dirakam
secara langsung di Facebook hari ini.
Semalam, Ebit Lew melalui
hantaran di Facebook membuat keputusan untuk tidak lagi membantu secara
langsung golongan yang kurang berkemampuan selepas beliau dipanggil memberi
keterangan kepada polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai tindakan pihak
tertentu yang mempersoalkan keikhlasan Ebit Lew, Mohd Asri berkata sebagai
manusia biasa, ia bukanlah satu urusan yang perlu dicampuri kerana ia
membabitkan amalan atau niat individu dengan tuhannya.
"Orang memberi sedekah,
bukan urusan kita untuk mengetahui sama ada pemberi itu ikhlas atau tidak
kerana itu antara dia dan Allah.
"Ikhlas ini rahsia, jika
seseorang itu ikhlas (melakukan kebajikan) dia memperoleh pahala dan jika
sebaliknya dia tidak dapat pahala tetapi dapat dosa. Cumanya orang yang
menerima bantuan itu dapatlah barangan keperluannya yang diberi," katanya.
Mohd Asri berkata, beliau yakin
Ebit Lew adalah individu yang bertanggungjawab dan ikhlas dalam melakukan amal
kebajikan.[1]
No comments:
Post a Comment