Ad

Tuesday 18 April 2017

Juhari - Bertemu komunis yang diselamatkan

ARKIB : 15/04/2004
JUHARI MAT (duduk, kanan) semasa menyertai Ops Sawadi Salam di Thailand.


Kunjungan ke Ipoh baru-baru ini, membuktikan betapa pasukan polis masih lagi menyimpan wira-wira negara.
Meskipun jumlah mereka tidak ramai lantaran persaraan, namun pertemuan itu tetap dianggap sebagai bertuah.
Manakan tidak, mereka yang ditemui rata-rata memiliki pengalaman luas dan cukup menarik.
Antara pengalaman itu ialah ketika bertempur dalam misi negara menghapuskan ancaman pengganas komunis.
Seorang daripada mereka ialah Sarjan Mejar Juhari Mat, 54, dari Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
Terlalu banyak kenangan beliau simpan ketika dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) (sekarang dikenali sebagai PGA).
Satu peristiwa yang sukar beliau lupakan ialah pengalaman ketika menyertai Ops Setia II di Hutan Lasah pada tahun 1984.
Beliau tidak membunuh pengganas yang ditemuinya. Suatu yang pelik meskipun nyawa pengganas itu di hujung rifelnya.
Tambahan pula musuh itu juga adalah orang yang mereka cari selama seminggu setelah menyerang batalion lain sebelumnya.
``Jika mahu tembak saya boleh berbuat demikian. Jari saya di picu tetapi dia mengangkat tangan dan menjerit supaya jangan tembak,'' katanya.
Juhari menceritakan komunis itu tiba-tiba muncul di celah-celah semak ketika kumpulannya sedang minum air di tepi sungai.
Namun melihat keadaannya Juhari merasa tidak sampai hati lalu membawanya ke khemah.
Komunis itu beliau lihat dalam keadaan yang amat lemah kerana tidak makan selama seminggu.
Keadaan itu memaksa Juhari mengambil biskut dan membawa kepadanya.
``Dia makan dengan lahap sekali. Sehinggakan dia muntah.
``Saya memberitahunya supaya makan dengan perlahan-lahan dan mengambil biskut lalu menyuap ke dalam mulutnya,'' ujarnya.
Juhari kemudian melaporkan penemuan komunis itu kepada pusat kawalan dan menyerahkannya kepada Cawangan Khas.
Namun rentetan peristiwa tersebut tidak terhenti setakat itu.
Enam tahun kemudiannya, Juhari bertemu dengannya sekali lagi semasa menyertai Ops Bamboo di Kuala Terengganu.
Kali ini dia telah `bersih' dan menyertai pasukan polis sebagai pegawai.
Meskipun tidak mengenalinya tetapi lelaki Cina itu mampu mengingatinya dengan baik.
Sehinggalah malam itu, pegawai tersebut memanggilnya supaya tidur dalam khemah yang dikhaskan.
``Saya menolak kerana khemah adalah untuk pegawai sahaja,'' katanya.
Bila tiba waktu makan, pegawai itu memecah cerita bahawa dia adalah komunis yang beliau selamatkan di Lasah dahulu.
Katanya: ``Kalau tidak kerana Juhari, susu dan biskut yang diberikan, sudah tentu saya sudah mati.''
Juhari pernah menyertai banyak misi di hutan iaitu tidak kurang daripada 20 operasi.
Antaranya ialah Ops Tebas, Ops Sawadi Salam Thailand, Ops Sedar, Ops Bamboo, Ops Nyah, Ops 792, Ops 793 dan Ops Lada Pedas Sarawak.
Di bumi kenyalang, beliau pernah ber tempur dengan sekumpulan komunis Paraku ketika melalui sungai menggunakan bot.
Tindakan pemandu bot terus mengejar komunis di celah-celah pokok nipah ketika itu membuatkan beliau menjadi berani.
Meskipun komunis berjaya melarikan diri tetapi peristiwa itu terpahat dalam dirinya kerana dianggap boleh membahayakan nyawa.
``Esok harinya pula kami terpaksa memikul bot kerana air telah surut,'' katanya tergelak.
Beliau juga antara yang pernah berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Cambodia.
Ketika misi itu, pada Hari Raya Haji, pejabat PBB dibom oleh pengganas menyebabkan beliau terpaksa dipindahkan menggunakan helikopter Rusia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4eaYXebW9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment