Ad

Saturday 8 April 2017

Malaysia masuki era Abdullah



ARKIB : 01/11/2003
Oleh Zin Mahmud

(WARTAWAN UTUSAN)
Pada hari Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri pada hari Khamis, 16 Julai 1981 bersamaan dengan 13 Ramadan 1401, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan tiga berita dan gambar menarik di muka depannya.

Tajuk pertama berhubung dengan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn mempengerusikan mesyuarat kabinet kali terakhir. Ada dua gambar disiarkan untuk beritanya. Pertama, gambar Hussein dan Dr. Mahathir semasa mesyuarat itu. Satu lagi ialah gambar Datuk Musa Hitam berjenaka dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Satu lagi berita di muka depan dengan gambarnya sekali ialah mengenai Datuk Seri Anwar mengesahkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sementara satu lagi berita muka depan dengan gambar ialah mengenai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat gelaran Datuk.

Sudah tentu pada masa itu, tidak ada sesiapa yang menyangka bahawa akhirnya Abdullah yang akan menggantikan Dr. Mahathir.

Tumpuan perhatian pada masa itu adalah persaingan antara Musa dan Tengku Razaleigh.

Ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, tidak banyak pihak yang boleh menjangka bintang cerah Abdullah.

Tetapi hari ini rakyat Malaysia menyaksikan bahawa Abdullah telah ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima.

Liku-liku perjalanan Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri bukannya mudah dan ringkas. Bagaimanapun, jawatan Perdana Menteri merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya oleh keadaan politik semasa. Dalam keadaan begini, beliau menjadi satu harapan besar bagi rakyat Malaysia.

Jawatan ini bukan dikejar semata-mata untuk mendapatkan kuasa atau matlamat tertentu.

Begitulah juga dengan penyertaan beliau ke dalam politik pada tahun 1977. UMNO Pulau Pinang yang biasa dengan cara kepimpinan keluarga Badawi mempelawa Abdullah menggantikan arwah bapanya memimpin UMNO Bahagian Kepala Batas dan Seberang Perai.

Ini berlaku selepas bapanya Ahmad Badawi meninggal dunia pada 8 Mei 1977. Allahyarham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dari tahun 1972 hingga beliau meninggal dunia.

Abdullah meletak jawatan kerajaannya dan bertanding bagi kerusi Parlimen kawasan Kepala Batas pada tahun 1978. Beliau menang mudah dan pada Disember tahun yang sama, Abdullah dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Pada tahun berikutnya, beliau menjadi Ketua Cawangan UMNO Bertam dan Ketua Bahagian UMNO Kepala Batas. Beliau kemudian dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan. Pada tahun 1980, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan selama dua tahun.

Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan setelah mengalami jatuh bangun dan pelbagai cabaran politik, akhirnya kini beliau menjadi Perdana Menteri.

Orang yang gemar melihat semua perkara dari sudut politik, sudah tentu terdorong untuk membincangkan soal-soal berbentuk spekulatif umpamanya tentang siapakah yang akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perebutan jawatan dalam pemilihan UMNO akan datang.

Tetapi apa yang sebenar lebih penting daripada soal percaturan politik ialah kedudukan jawatan Perdana Menteri dengan kekuasaan serta pengaruhnya terhadap kehidupan rakyat Malaysia.

Sesungguhnya Perdana Menteri merupakan jawatan yang mempunyai kuasa paling besar di negara ini. Tetapi sudah tentu kuasa ini datang dengan tanggungjawab. Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan boleh menentukan jatuh bangun negara, maju mundur negara, malah aman ataupun perang.

Menurut Perkara (2) Perlembagaan, pelantikan Perdana Menteri sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Sementara Perkara 43(1) pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik suatu Jemaah Menteri iaitu kabinet untuk menasihatkannya dalam hal menjalankan tugas-tugasnya.

Perkara 43 (2) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri, yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.

Dari segi praktikalnya, kepercayaan ini ditunjukkan melalui parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti anggota Dewan Rakyat.

Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain daripada antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Proses mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang kebiasaannya disaksikan oleh Menteri Kabinet, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan Ketua Hakim Negara.

Sebagai Ketua Eksekutif kerajaan, Perdana Menteri bertanggungjawab penuh kepada Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal.

Setelah mencapai kemerdekaan selama 46 tahun dengan sistem Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan dan berjalan lancar, maka amalan pentadbiran Malaysia bertambah kukuh kerana keberkesanannya bukan saja mewujudkan keharmonian hidup bernegara tetapi juga mendatangkan kemajuan untuk kemakmuran rakyat.

Kelicinan peralihan kuasa antara Perdana Menteri sebanyak lima kali membuktikan juga bahawa sistem yang ada pada negara ini berjalan lancar dan berkesan.

Di mana-mana pun di dunia, dan sepanjang sejarah manusia mewujudkan sistem pemerintahan, peralihan kuasa merupakan tempoh yang menimbulkan suasana gelisah dan proses itu perlu dilakukan selicin boleh bagi mengelakkan sebarang pergolakan.

Dalam sejarah dunia, itulah yang berlaku semasa seseorang raja mangkat dan pada zaman moden ini, mengikut sistem negara masing-masing, suasana gelisah berlaku ketika perubahan kuasa presiden atau Perdana Menteri.

Sememangya dalam sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, Perdana Menteri dilantik setiap kali selesai pilihan raya umum, di samping pemilihan jawatan dalam parti pemerintah.

Malaysia menyaksikan 10 kali pilihan raya umum dan setiap kali setelah ia selesai, Perdana Menteri akan dilantik oleh Yang di-Pertua Agong. Tetapi perkara itu dapat dilakukan dengan licin kerana secara konsisten Perikatan dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO memenangi pilihan raya umum. Keadaan ini mewujudkan kestabilan negara.

Tetapi peralihan kuasa antara Perdana Menteri di Malaysia hanya berlaku sebanyak lima kali. Oleh kerana Dr. Mahathir memimpin negara dalam jangka waktu yang boleh dianggap lama iaitu 22 tahun, maka sudah tentu ia menjadi perhatian besar rakyat negara ini. Perubahan kepimpinan negara yang terakhir berlaku iaitu 22 tahun lalu sudah banyak dilupakan oleh kebanyakan orang. Lebih-lebih lagi bagi generasi baru yang sepanjang hayatnya hanya mengenal seorang Perdana Menteri.

Pastinya, cara Abdullah akan berbeza daripada Perdana Menteri terdahulu tetapi tugasnya dalam sistem yang ada di negara ini tidak sukar untuk dijangkakan. Ini kerana bukan saja Abdullah datang daripada parti yang sama dengan empat Perdana Menteri terdahulu tetapi juga mengetuai jentera kerajaan yang sudah memiliki dasar-dasar dan rancangan jangka panjang.

Contoh jelas ialah Rancangan Malaysia Kelapan yang pelaksanaan meliputi tempoh 2001 hingga 2005. Pada hari terakhir pemerintahan Dr. Mahathir, beliau telah membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan.

Abdullah sudah tentu perlu memastikan kejayaan rancangan negara itu berdasarkan kajian separuh penggal. Selanjut daripada itu, beliau wajar menyediakan Rancangan Malaysia Kesembilan. Tugas-tugas seperti ini tidak akan selesai. Ia adalah sebahagian daripada tugas seorang Perdana Menteri Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4deO9Nx52
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment