Ad

Tuesday, 25 April 2017

Kenang jasa tokoh wanita veteran

ARKIB : 25/08/2004
(WARTAWAN UTUSAN)
Tarikh 25 Ogos 1962 yang menjadi titik tolak pengiktirafan wanita Malaysia dipilih sendiri oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Kita percaya, wanita mampu melakukan apa yang mereka mahu berlandaskan keyakinan spiritual yang memberi inspirasi kepada mereka untuk bekerja dan berjuang.
Profesor Datin Dr. Roziah Omar, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), meminta supaya hari wanita dilihat dalam konteks yang lebih luas dengan mengimbau kembali peranan dan tanggungjawab pejuang wanita sebelum ini.
``Selepas merdeka, purata, perkembangan wanita menunjukkan perubahan dan pencapaian yang tinggi dalam semua sektor terutama politik, ekonomi dan pendidikan,'' katanya.
Menurut Prof. Roziah, pencapaian 30 peratus di peringkat pembuat dasar seperti yang diputuskan di Beijing masih belum mencapai sasaran, tetapi apa yang diharapkan usaha itu akan berterusan untuk menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang berjaya melepasinya dalam masa terdekat.
Selain itu, kata Prof. Roziah, peranan yang dimainkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memperkasakan minda wanita dalam sektor yang disebutkan itu harus diberi sokongan.
``Dalam apa juga keadaan perhatian dan sikap prihatin yang ditunjukkan kerajaan kepada wanita tanpa diskriminasi patut dihargai kerana ia membantu memacu kecemerlangan wanita negara ini,'' ujarnya.
Prof. Roziah turut mengingatkan wanita muda negara ini supaya menghargai sumbangan dan jasa wanita dahulu yang telah banyak berjasa kepada mereka.
``Tanpa mereka kita tidak akan menikmati kemajuan yang dikecapi sekarang. Jangan lupa kerja wanita dahulu yang telah meletakkan perjuangan wanita di landasan yang betul sehingga membolehkan wanita hari ini mendapat apa yang sepatutnya mereka peroleh. Jangan lupa siapa Putih Maria, Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani, mereka adalah srikandi kita,'' katanya.
Sebagai Pengarah ISM, Prof. Roziah memberitahu pihaknya sedang merangka satu anugerah untuk memperingati aktivis sosial yang telah melaksanakan tanggungjawab dan perjuangan mereka untuk memenuhi agenda sosial negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru wanita negara ini supaya mendalami ilmu terkini sebanyak mungkin, sambil melibatkan diri dalam kokurikulum sosial, bukan hanya sains dan teknologi.
ISM yang bertindak sebagai tangan Jabatan Pembangunan Wanita dan Masyarakat (JPWM) berazam akan melakukan yang terbaik untuk membantu wanita negara ini melalui program, latihan dan sebagainya sehingga ke akar umbi.
ISM akan membantu meningkatkan minda wanita negara ini dengan memberi mereka latihan, daripada seringkas-ringkasnya sehingga yang serius ke peringkat akar umbi.
Mencapai sasaran tersebut memerlukan komitmen berterusan daripada wanita kerana kemajuan dan pencapaian sesebuah negara itu jelas terletak di tangan wanitanya yang maju dan membangun.
Selamat menyambut Hari Wanita.

No comments:

Post a Comment