Ad

Wednesday, 5 April 2017

Kemerdekaan bukan hak mutlak



ARKIB : 30/08/2003

Oleh ZIA ASMARA

Pada 31 Ogos 2003 (esok) genaplah 46 tahun negara kita, Malaysia, merdeka. Selama itu juga rakyat kita telah hidup bebas daripada sebarang belenggu penjajahan. Rakyat kita yang terdiri daripada berbilang kaum telah hidup aman damai, bersatu padu dan menghirup udara bebas selama itu. Jika rakyat kita terus berkekalan demikian, negara kita akan pasti terus aman makmur dan maju untuk seribu tahun lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan lebih membawa makna kepada negara dan rakyat yang pernah merasa hidup di bawah penjajahan asing. Lebih-lebih lagi jika rakyatnya pernah melalui pemerintahan yang kejam dan zalim. Rakyat yang pernah hidup sengsara di waktu penjajahan sudah tentu tidak mahu zaman itu berulang dan menimpa pula generasi anak-anak mereka.

Oleh itu, mereka yang telah hidup menderita di bawah kuasa asing akan lebih memahami erti kemerdekaan atau kebebasan. Mereka akan lebih menghargai kebebasan yang dinikmati di dalam sebuah negara yang merdeka sekarang. Mereka akan lebih rela berjuang dan berkorban untuk mempertahankannya.

Bagi negara yang tidak pernah ditakluk atau tidak pernah dijajah tidak akan ada sambutan hari kemerdekaan dalam kalendar acara perayaan tahunan mereka. Rakyat mereka tidak akan memahami erti kemerdekaan atau kebebasan yang menjadi idaman setiap negara. Malah mereka tidak akan tahu nikmat kebebasan yang sebenar.

Mungkin, bagi mereka kebebasan itu adalah nikmat semula jadi atau memang hak asasi mereka. Mereka berpendapat kebebasan itu tidak akan hilang daripada mereka walau apa pun terjadi. Mereka tidak berasa takut akan kehilangan kebebasan mereka atau kemungkinan ia dirampas oleh orang lain kerana percaya ia tidak mungkin berlaku.

Bagi mereka kebebasan itu adalah anugerah Tuhan. Dan ia tidak boleh hilang walau apa pun yang mereka lakukan boleh memudaratkan negara atau mendedahkan negara kepada kehancuran. Inilah yang membimbangkan negara.

Majoriti penduduk negara kita hari ini adalah mereka yang lahir selepas 1957. Mereka adalah anak merdeka. Negara sudah membangun dan maju serta selamat apabila mereka mencelikkan mata semasa dilahirkan.

Generasi merdeka ini tidak pernah melalui kehidupan yang sukar dan sengsara di bawah pemerintahan penjajah. Mereka tidak pernah hidup ditindas, dihina, dianiaya atau dizalimi orang asing.

Ini sudah tentu akan membezakan mereka dengan generasi yang lahir sebelum merdeka dalam mempunyai pendapat tentang kemerdekaan, kedaulatan, maruah dan kebebasan negara. Mereka mungkin mempunyai sikap mengambil mudah atau take for granted terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Atau lebih buruk lagi mereka tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku ke atas negara kerana mempercayai ia tiada kaitan dengan mereka atau menyentuh diri dan hak mereka. Sikap sedemikian sudah tentu merugikan negara.

Sikap itu sudah pun dikesan di kalangan generasi muda kita. Walaupun tidak kesemuanya, generasi ini sudah menunjukkan sikap yang negatif yang boleh menggugat jalinan asas masyarakat dan aspirasi negara. Generasi ini dilihat mementingkan diri sendiri, bersifat perkauman, tamak, tidak berdisiplin, suka mengambil jalan singkat, tiada rasa hormat, kasar dan tidak pemalu. Mereka antimasyarakat, antipentadbiran, suka berseronok, lupa diri, tiada toleransi dan hilang nilai-nilai budaya Timur dan agama.

Mereka terpengaruh dengan hidup gaya kebaratan. Mengutamakan hidup diri sendiri daripada masyarakat. Trend ini boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat kita yang berbilang kaum, budaya, bahasa, adat resam dan kepercayaan, yang cuba kita bangunkan sebagai bangsa yang maju, besar, bermaruah dan bertamadun.

Justeru, usaha hendaklah dilakukan bagi mengelakkan pengaruh sikap dan budaya buruk ini daripada terus menular dan menjadi barah yang boleh melemahkan dan merosakkan asas masyarakat kita. Kerajaan sendiri telah mengambil beberapa langkah untuk menanganinya.

Salah satu tindakan drastik yang terpaksa diambil ialah melaksanakan program National Service atau Perkhidmatan Negara' pada tahun depan. Melalui program ini, kerajaan berharap generasi muda akan mempunyai sikap yang lebih positif dan lebih taat setia serta cintakan negara.

Yang utama sekali mereka hendaklah faham dan sedar betapa pentingnya mempertahankan negara daripada menjadi sasaran dan mangsa musuh serta mengelakkan berulangnya peristiwa tanah air ditakluki dan dijajahi oleh orang asing.

Diharapkan mereka akan lebih peka mengenai hal-hal kenegaraan termasuk soal kedaulatan, maruah, kebebasan dan kemerdekaan. Kerajaan juga berharap generasi ini lebih berdisiplin, berhemah tinggi, bersemangat setia kawan antara semua kaum, bermoral, berani, cekal dan cekap selepas menyertai program Perkhidmatan Nasional ini.

Generasi muda kita perlu diberi kesedaran bahawa kedudukan negara kita walaupun aman dan selamat adalah sentiasa terdedah kepada ancaman musuh dari luar negara. Walaupun kita mempunyai kekuatan ketenteraan dan rakyat yang bersatu, ia masih tidak mencukupi untuk menghalang sebarang pencerobohan atau serangan yang disertai dengan senjata-senjata besar dan kuat.

Ini sudah kita lihat berlaku di beberapa negara yang telah diserang oleh kuasa-kuasa asing yang besar dan kuat. Walaupun rakyatnya berjuta bilangannya malah mempunyai pasukan elit tentera, negara berkenaan tidak mampu menangkis serangan tentera penceroboh.

Oleh itu, rakyat kita perlu bersedia untuk menghadapi cabaran dan dugaan yang lebih besar di masa depan. Kita jangan leka atau lalai dan mudah berpuas hati dengan kejayaan yang kita capai setakat ini. Kita juga perlu insaf dengan perjuangan dan pengorbanan generasi sebelum ini yang telah membawa kebebasan, kebahagiaan dan kesenangan yang kita nikmati hari ini.

Kita harus insaf dengan penderitaan yang dialami dan dilalui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita di zaman penjajahan asing dan dalam perjuangan mereka mengembalikan maruah bangsa dan kemerdekaan tanah air.

Rakyat kita harus disedarkan dengan semua perkara ini terutama penderitaan perit yang terpaksa mereka tempuhi; bagaimana mereka diseksa dengan kejam, bagaimana mereka diperhambakan di tanah air sendiri, bagaimana mereka didiskriminasikan sebagai pribumi, dan bagaimana mereka dilayani seperti orang pendatang di negara sendiri.

Kisah-kisah mereka boleh memberi kesedaran kepada generasi anak merdeka ini bahawa kebebasan yang mereka nikmati hari ini bukannya datang bergolek tetapi adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan generasi dahulu. Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara ini hendaklah diceritakan kepada anak-anak kita yang lahir di waktu kemerdekaan supaya mereka lebih insaf dan lebih sayangkan negara.

Kita tidak mahu sejarah lama berulang. Generasi muda kita harus diingatkan bahawa bukanlah mudah untuk mencapai kemerdekaan dan amatlah mudah untuk memusnahkannya. Apatah lagi pada waktu ini di mana keadaan dunia dipenuhi dengan pelbagai ancaman.

Dengan keadaan dunia kini berada dalam keadaan rapuh, bila-bila masa sahaja peperangan atau keganasan boleh tercetus dan memporak-perandakan masyarakat antarabangsa.

Rakyat harus sedar bahawa bangsa kita telah dijajah oleh pelbagai kuasa asing selama 500 tahun. Selama itu jugalah bangsa kita telah hidup menderita, dihina, ditindas dan tanah air kita dieksploit habis-habisan. Penjajahan ke atas bangsa kita oleh kuasa asing yang begitu lama itu telah membelenggukan hati dan fikiran bangsa kita.

Akibatnya, bangsa kita begitu lemah, berasa rendah diri, pemalu, takut mengambil risiko, menjauhi cabaran dan kurang ilmu dan kecekapan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib bangsa kita hari ini jika negara kita masih dijajah oleh kuasa-kuasa kolonial dahulu.

Mungkin bangsa kita sedang hidup merempat di tanah tumpah darah. Mungkin kita masih menjadi hamba orang. Mungkin bangsa kita masih miskin dengan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mungkin bangsa kita masih menumpang kasih dan bergantung belas ihsan pada orang lain untuk menyambung hidup.

Tetapi rakyat kita sungguh bertuah. Apabila sahaja negara mencapai kemerdekaan, sebuah kerajaan yang cekap dan berwawasan telah didirikan melalui kerjasama politik kaum-kaum utama negara ini. Kebijaksanaan ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India untuk bekerjasama telah menyelamatkan negara daripada terus terletak di bawah cengkaman kuku penjajah.

Melalui pakatan yang ikhlas antara tiga kaum utama ini, negara telah memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan kolonial Inggeris. Kemerdekaan ini telah bertahan selama 46 tahun sehingga ini.

Kita bersyukur, kemerdekaan dan kebebasan yang dimiliki selama ini telah dimanfaatkan untuk membangun dan memajukan rakyat dan negara. Melalui Kerajaan Perikatan dan kemudian Kerajaan Barisan Nasional, seluruh negara telah dimajukan dengan pesat untuk faedah dan kepentingan rakyat.

Bukan sahaja kita, malah orang luar sendiri dapat melihat pembangunan dan kemajuan pesat yang telah kita capai sehingga ini. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan kejayaan kita dalam mengisi kemerdekaan dengan menukar negara daripada sebuah negara pertanian yang mundur kepada sebuah negara industri dan pengeluar barangan yang maju dan moden.

Pembangunan fizikal seperti infrastruktur kelas dunia telah didirikan oleh kerajaan untuk rakyat jelata.

Kita harus bersyukur kerana selama 46 tahun kerajaan sekarang menerajui pemerintahan negara, nasib rakyat terus terbela. Bukan itu sahaja, malah mereka bebas menjalankan aktiviti mereka tanpa halangan dan gangguan daripada sesiapa selagi mereka tidak melanggar undang-undang negara.

Justeru, kebebasan dan kemerdekaan yang kita nikmati selama ini hendaklah dipelihara bersungguh-sungguh. Kita hendaklah bersiap sedia untuk mempertahankannya. Rakyat harus sedar bahawa sekali memperoleh kemerdekaan tidak bermakna ia akan terus menjadi milik kita selamanya.

Sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan atau kebebasan negara pada hari ini boleh dicabuli sesuka hati oleh pihak-pihak yang kuat dan agresif. Maknanya kedaulatan mana-mana negara tidak semestinya dihormati oleh orang lain.

Negara-negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang tidak boleh ditandingi oleh negara lain boleh bertindak secara unilateral untuk mencapai cita-cita mereka. Konvensyen atau peraturan antarabangsa tidak lagi dipatuhi oleh negara sedemikian kerana semata-mata untuk melaksanakan agenda peribadi mereka.

Justeru, kita harus sedar kemerdekaan atau kebebasan kini bukanlah menjadi hak mutlak mana-mana pihak. Ia boleh dicabuli oleh sesiapa sahaja yang kuat. Kemerdekaan dan kebebasan negara yang kita nikmati hari ini belum pasti akan kekal selama-lamanya.

Oleh itu dengan mengambil iktibar daripada banyak peristiwa yang berlaku di sekeliling kita di dunia sekarang, eloklah rakyat bersiap sedia untuk menghadapi masa depan yang penuh mencabar dan sukar diduga ini. Rakyat hendaklah terus bersatu padu bagi memantapkan bangsa kita.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4dMVv7JCt
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment