ARKIB : 29/08/2003
Belasungkawa
Oleh Siti Rohayah Attan
(Wartawan Utusan)
DALAM sejarah Melayu, Tun Perak
sinonim dengan nama seorang perwira yang gagah perkasa mempertahankan bumi
Melaka daripada ancaman musuh. Dalam dunia televisyen, istilah Perak pula bagai
menjadi milik Ahmad Marbawi apabila beliau berjaya menangani watak Tok Perak,
seorang penjual ubat yang bijaksana. Dua watak ini mempunyai peranan tersendiri
dalam dokumentasi sejarah.
Bermula dengan slot Drama Minggu
Ini kemudian menjadi drama bersiri, Tok Perak mula meletakkan Ahmad Marbawi di
tempat yang selesa dalam sejarah dunia seni. Siri karya Seniman Negara, Datuk
Syed Alwi Syed Hassan itu juga secara tidak langsung bagai meragut nama sebenar
Ahmad Marbawi lalu digantikan kepada Tok Perak.
Kisah penjual ubat di stesen
kereta api, Kuala Kangsar, Perak yang dijadikan idea untuk pementasan teater
itu akhirnya menjadi lebih besar khalayaknya apabila menjadikan siri itu paling
tinggi ratingnya di RTM apabila diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.
Malangnya, siri ini tidak kekal
meskipun ada gesaan supaya ia disambung semula. Itu jugalah harapan Ahmad
Marbawi atau nama sebenarnya Ahmad Merbawi Yaman Husin. Beliau pernah
menyatakan bahawa Tok Perak adalah drama yang memiliki dunia tersendiri, yang
belum pernah dilahirkan sebelum dan selepasnya. Ini disuarakan dalam satu majlis
untuk meraikan Seniman Negara, Datuk Syed Alwi, awal tahun ini di Muzium
Negara.
Saya masih ingat, dengan kerusi
roda yang disorong oleh anaknya dan peluh berjejeran, beliau hadir ke majlis
itu. Tanpa dipaksa dengan nafas yang mencungap, beliau terus bercerita tentang
Tok Perak dan sejarah drama itu.
Sejarah tetap sejarah. Semalam,
kira-kira pukul 4 petang, di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur, Ahmad Marbawi
kembali ke rahmatullah setelah terlantar tenat selama seminggu. Sebelum ini,
Allahyarham menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan
asma sehingga menyebabkan beliau tidak mampu berjalan.
Bagaimanapun, kudrat yang
diberikan itu masih dipergunakan dengan sebaik-baiknya termasuklah menghadiri
beberapa majlis yang dekat dengan hatinya.
Beliau yang dilahirkan pada 16
November 1938 meninggalkan sejarah yang tidak mungkin terpadam dalam sejarah
seni. Memang seniman yang mempunyai lima cahaya mata ini tidak pernah mendapat
gelaran terhebat, namun beliau memberi warna kepada dunia seni dengan semangat
juang yang tinggi.
Perjuangannya bukan sekadar dalam
bidang seni malah aktif dalam politik sehingga pernah menjadi wakil peribadi
kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Dr. Suleiman Mohamed bagi Zon Datuk
Keramat.
Seniman kelahiran Kampung Lubuk
Merbau, Kuala Kangsar, Perak ini meninggalkan kenangan indah perkahwinan dengan
isteri tercinta, Jaharah Sohor. Begitu juga kasih sayang terhadap putera
puterinya Marliza, Marina, Marhaida, Marwizam dan Allahyarham Mohd. Hussein.
Bekas tentera British di
Singapura pada 1955 hingga 1957 ini mula aktif dalam dunia drama dan filem pada
tahun 1964 selepas menjadi buruh di Majlis Bandaran Ipoh dan guru sementara
pada pertengahan 50-an.
Allahyarham pernah muncul dalam
beberapa filem termasuklah Ranjau Sepanjang Jalan (1983), Dendam Dari Pusara
(1983), Cikgu Sayang (1983), Ke Medan Jaya (1983), Puteri (1987), Memori
(1992), Badai Mentera (1996) dan Raja Melewar (1997).
Drama yang menampilkan beliau
sebagai pelakon termasuklah Tok Perak, Salem dan Afsan, Tangan, Kaduk, Wali dan
Tonel Badut, Raja Laksamana Bentan dan Niat Si Ayah.
Di dalam politik Allahyarham
pernah menjawat beberapa jawatan sejak 1974 termasuklah setiausaha, cawangan
(10 tahun) dan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Titiwangsa dan Ketua UMNO Cawangan
Pasar Datuk Keramat. Pada 1990-1991 pernah menjadi Setiausaha Kerja UMNO
Bahagian Titiwangsa dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Titiwangsa
(1993).
Seniman ini juga aktif dalam
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan pernah menjadi penolong setiausaha
(1993). Allahyarham dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 1993 dan PPM
pada 1967.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4dMPbeFqo
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber
No comments:
Post a Comment