12 Jun 2018 3:00 AM
RUTIN hujung minggu remaja
berusia 14 tahun itu seringkali dihabiskan dengan beriadah di Taman Tasik
Seremban (TTS), Seremban, Negeri Sembilan.
Haziq Ali Hisham gemar berkunjung
ke situ disebabkan ia dilengkapi dengan trek joging yang dilindungi pohon besar
dan rendang.
Biasanya, Haziq Ali akan berlari
mengelilingi trek joging sebanyak dua pusingan sambil menghirup udara segar di
taman itu.
Bagaimanapun, pada hari itu waktu
riadahnya sedikit terganggu dengan sebatang pokok besar sekitarnya dikelilingi
pagar putih setinggi satu meter.
Dia berasa hairan kerana pokok
tersebut merupakan satu-satunya pohon di TTS yang dijaga dengan penuh rapi.
Haziq Ali terpanggil untuk
mengetahui dengan lebih mendalam keistimewaan pokok yang memiliki batang besar
dengan urat berpusing itu.
Apa yang tertera di papan tanda
itu ialah Pokok Getah Pertama di Negeri Sembilan.
Raut wajahnya kelihatan teruja
sebelum menghabiskan masa selama hampir 20 minit bagi mengamati susuk flora
berkenaan dan membaca informasi yang diletakkan.
“Saya rasa, papan tanda ini baru
saja diletakkan. Sebelum ini, saya rasa papan tanda ini belum ada lagi.
“Saya betul-betul tidak sangka
pohon ini mempunyai nilai sejarah besar kepada negeri ini,” katanya ketika
ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Pokok getah yang mempunyai
lilitan batang sepanjang 3.5 meter (m) dan berketinggian 25m itu dianggarkan
berusia 120 tahun.
Pokok berkenaan dipercayai
ditanam oleh pelopor industri getah di negara ini iaitu Sir Henry Nicholas
Ridley.
Menurut Haziq Ali, nilai sejarah
yang ada pada pokok tersebut sangat penting memandangkan negara ini cukup
sinonim dengan industri getah.
Anak bongsu daripada empat
adik-beradik itu menambah, pokok getah tersebut juga sangat unik kerana dapat
hidup dalam tempoh lama.
“Dalam buku sejarah, saya hanya
kenal pokok getah tertua di Malaysia yang terletak di Kuala Kangsar (Perak).
“Selepas mengetahui kewujudan
pokok ini. Saya rasa sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pokok ini terus
terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Anak benih
Menariknya, pokok getah tertua di
Negeri Sembilan mempunyai perjalanan sejarah hampir serupa dengan pokok getah
tertua di Kuala Kangsar.
Penolong Pegawai Senibina Jabatan
Taman dan Landskap, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Mohd. Azpuri Abd. Aziz
berkata, pokok getah yang hidup di sebelah Galeri Diraja itu merupakan salah
satu daripada 22 anak benih yang dibawa dari Kew Gardens, England pada tahun
1877.
Jelasnya, daripada jumlah
tersebut, 11 anak benih berkenaan telah disemai di Botanic Gardens, Singapura
manakala bakinya dibawa ke Malaya.
“Saya difahamkan sembilan anak
benih dihantar ke Kuala Kangsar manakala bakinya dua ditanam di Melaka dan
Negeri Sembilan.
“Saya yakin, pokok ini merupakan
anak benih yang dibawa ke sini, memandangkan usianya selari dengan tahun anak
benih berkenaan dibawa ke Malaya.
“Menguatkan lagi hujah, pokok
getah ini berada betul-betul di depan bekas tapak kediaman rasmi Residen
British di Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Mohd. Azpuri, pokok getah
berkenaan dibawa oleh British ke Malaya untuk mengenal pasti kesesuaian tanaman
berkenaan di rantau ini.
Katanya, disebabkan tumbesarannya
yang sempurna, pokok getah di TTS telah berjaya meyakinkan pihak British untuk
membuka ladang getah pertama Negeri Sembilan di Linsum estet, Rantau.
Linsum estet telah dibuka oleh
Bapa Perusahaan Getah Asli di Malaya iaitu Thomas H. Hill dengan keluasan 1,600
ekar pada tahun 1883.
Ladang yang diuruskan oleh
syarikat Anglo-Malay Rubber Company kemudian berkembang sehingga menjadi salah
satu pengeluar getah utama di negara ini.
“Negeri Sembilan merupakan salah
satu daripada tiga Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak dan Selangor yang
tanaman getahnya berkembang pantas.
“Menjelang tahun 1920, Malaya
telah mengeluarkan lebih separuh daripada getah dunia lantas menjadikannya
tanaman penting di rantau ini hinggalah sekarang. British memerlukan getah bagi
memenuhi permintaan tinggi industri di Eropah dan Barat,” katanya.
Susu getah
Pokok getah merupakan sejenis
tanaman yang hidup di kawasan selatan khatulistiwa terutamanya di Hutan Amazon,
Amerika Selatan.
Ia memerlukan hujan sebanyak
180sm hingga 250sm setahun dengan suhu antara sekitar 25 hingga 30 darjah
Celsius.
Mohd. Azpuri memberitahu, Jabatan
Taman dan Landskap mula mengenal pasti keistimewaan pokok getah tersebut sejak
dua tahun lalu.
Jelasnya, rentetan itu pihaknya
telah melakukan penyelidikan secara terperinci bagi mengenal pasti jenisnya,
tahun pokok dan tahap kesihatan pokok getah berkenaan.
Justeru, pihaknya telah merujuk
kepada pakar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi
mendapatkan data sahih.
“Saya telah berjumpa dengan
seorang rakan di FRIM, dia maklumkan pokok getah ini sudah tua dan
tumbesarannya sudah perlahan.
“Meskipun begitu, keadaannya
sihat dan tiada tanda-tanda pereputan. Kami juga telah menyembur racun
anai-anai secara berkala.
“Pokok ini juga masih mempunyai
susu getah walaupun sudah berusia ratusan tahun. Biasanya pokok getah akan
kehabisan getah selepas menjangkau usia tiga dekad,” katanya.
Hasil penilaian pokok getah
berkenaan mengikut piawaian kualiti fizikal dan sosial antarabangsa menunjukkan
ia bernilai RM3.8 juta.
Sementara itu, Ketua Unit
Pelancongan Komuniti dan Perhubungan Awam MPS, Shamaruddin Saidin memaklumkan,
pihaknya telah mengambil inisiatif untuk memelihara pokok getah berkenaan
sebagai salah satu warisan Negeri Sembilan.
Jelasnya, pokok itu akan
dijadikan sebagai salah satu daya tarikan baharu pelancong ke negeri yang
terkenal dengan adat Minangkabau itu.
“Kami baru sahaja memagar kawasan
ini bagi mengelakkan pelawat merosakkan khazanah tidak ternilai ini seperti
menoreh bagi mengeluarkan getah.
“Langkah memagar ini juga dapat
menggelakkan tanah di sekitar pohon ini mendap apabila dipijak oleh pengunjung.
“Kami turut menempatkan beberapa
papan tanda bagi memberi informasi kepada pengunjung mengenai sejarah pokok
ini,” katanya.
Pada sebelah malam, pokok getah
tersebut diterangi dengan cahaya lampu. Shamaruddin memberitahu, pokok getah
tersebut mempunyai kelebihan dan tarikan tersendiri.
Tegasnya, pokok getah itu
terletak di kawasan taman rekreasi yang luas dan tidak terganggu dengan arus
pembangunan.
“Pokok getah di Kuala Kangsar
terletak di tepi jalan besar. Jadi, ia sedikit sebanyak telah mengganggu
pembesarannya.
“Berbeza dengan pokok getah ini
yang hidup di kawasan berbukit dan luas. Ia juga dilengkapi kemudahan untuk
para pelawat melihat dan bergambar,” katanya.
Pokok getah pertama dan tertua di
Negeri Sembilan yang masih mempunyai susu getah itu dipercayai ditanam oleh
penjajah British bagi mengenal pasti potensi industri getah di negara ini.
SUMBER-KOSMO ONLINE 12 Jun 2018
3:00 AM