Pensyarah USM banggakan negara
Dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia
Mohd.
Khuzairi Ismail
13 Jun 2018 3:00 AM
PULAU PINANG 12 Jun - Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Khayriyyah Mohd. Hanafiah mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia dalam pertandingan FameLab International 2018 di The Arena, Cheltenham, United Kingdom (UK), minggu lalu.
SITI KHAYRIYYAH MOHD. HANAFIAH mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia dalam pertandingan FameLab International 2018 di UK, baru-baru ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM itu berjaya menawan hati panel juri dan memukau beratus-ratus penonton di The Arena melalui pembentangan bertajuk To Find a Hidden Killer (Mencari Pembunuh Tersembunyi) berkenaan penggunaan pasangan antibodi-antigen untuk diagnosis penyakit tuberculosis (tibi) atau batuk kering.
Dalam pusingan akhir, Siti Khayriyyah menewaskan 11 finalis lain dari pelbagai negara termasuk Mesir, Poland, Kazakhstan, UK, Afrika Selatan, Greece dan Cyprus.
Menurut beliau, kemenangan itu membuka lembaran baharu iaitu menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai bakat dan kemampuan untuk cemerlang dalam bidang sains dan teknologi.
Sambil melahirkan rasa terkejut, terharu dan bersyukur, katanya, kemenangan itu juga pengalaman paling bermakna dan berharga kerana dapat menarik perhatian penonton serta juri semasa membuat persembahan serta mendapat maklum balas yang baik dan positif.
“Nasihat saya kepada penyelidik dan pensyarah yang ingin menyertai pertandingan sebegini, baik tua atau muda, jangan ragu-ragu pada diri, cuba dahulu.
“Selagi anda ada mesej untuk disampai, berikan diri peluang untuk didengar khalayak ramai,” katanya yang banyak didorong oleh suami, ibu, keluarga serta rakan-rakan dalam menyertai pertandingan itu.
FameLab International adalah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami oleh khalayak dalam tempoh tiga minit.
Setiap persembahan dinilai berdasarkan kandungan, kejelasan dan karisma penyampai.
FameLab diperkenalkan di Malaysia pada 2015 oleh British Council dengan kerjasama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pulau-pinang/pensyarah-usm-banggakan-negara-1.690472#ixzz5IFgxHy6V
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment