Ad

Tuesday, 19 June 2018

Brazil kecewa, Switzerland ceria


 STEVEN ZUBER melompat tinggi untuk menanduk masuk gol Switzerland
STEVEN ZUBER melompat tinggi untuk menanduk masuk gol Switzerland ketika menentang Brazil dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2018 di Rostov Arena di Rostov-on-Don, kelmarin. AP
19 Jun 2018 3:00 AM

RUSIA 18 Jun - Buat kali pertama sejak 1978, Brazil gagal meraih kemenangan sewaktu aksi pembukaan mereka dalam kempen Piala Dunia ketika saingan peringkat kumpulan selepas diikat Switzerland dengan keputusan 1-1 di Rostov Arena.

Sebelum ini Brazil meraih sembilan kali kemenangan berturut-turut dalam aksi pembukaan mereka sewaktu Piala Dunia sepanjang tempoh 1982 hingga 2014.


Keputusan seri itu menyebabkan juara dunia lima kali, Brazil terpaksa berkongsi satu mata dengan Switzerland untuk berada di kedudukan kedua Kumpulan E di bawah Serbia yang meraih kemenangan ke atas Costa Rica.

Dalam perlawanan tersebut Brazil menunggu selama 20 minit untuk mendapatkan jaringan awal perlawanan menerusi Philippe Coutinho hasil rembatan kencang kaki kanan dari luar kawasan kotak menuju ke kanan sudut gawang Switzerland.

Jaringan awal itu membuatkan Switzerland tertekan untuk mendapatkan jaringan, namun gagal meraihnya sepanjang separuh masa pertama yang menyaksikan Brazil menguasai bola dengan baik selepas gol pertama.

Babak kedua perlawanan Switzerland dilihat cuba bangkit apabila mula mengatur beberapa siri serangan balas dan akhirnya berjaya meraih gol penyamaan pada minit ke-50 hasil tandukan Steven Zuber.

Zuber bijak menunggu di hadapan gawang Brazil sebelum memanfaatkan hantaran daripada Xherdan Shaqiri yang melakukan sepakan sudut ke tengah kawasan kotak.

Gol penyamaan tersebut memberi tekanan kepada Brazil yang cuba mengubah rentak permainan menjadi lebih pantas, namun usaha mereka sia-sia berikutan pertahanan Switzerland sukar ditembusi.

Jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic percaya keputusan seri ke atas Brazil itu mampu membuatkan lebih banyak pasukan lain menghormati mereka sepanjang kempen Piala Dunia di Rusia.

“Saya berharap pasukan lain akan memberikan fokus kepada kami agar tidak memandang mudah dalam setiap perlawanan menentang kami.

“Kadang-kala jika mereka terlalu memandang mudah terhadap kami itu akan membuatkan mereka akhirnya kecewa kerana kami akan bermain sebaik yang mungkin.

“Keputusan hari ini menunjukkan bahawa pasukan kami sentiasa percaya kepada keupayaan sendiri dan mampu meraih keputusan baik,” kata Petkovic. – AGENSI



SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/brazil-kecewa-switzerland-ceria-1.692635#ixzz5It5sQFLC
© Utusan Melayu (M) Bhds

No comments:

Post a Comment