yMetroArena
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih
Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil 10 pemain bawah 25 tahun dalam senarai
terbaru ke latihan pusat skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan
antarabangsa kelas A menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras,
5 Julai ini.
Daripada senarai itu, Cheng Hoe
mengekalkan 11 daripada 23 pemain yang beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2019
menentang Lubnan, 27 Mac lalu dan persahabatan bertemu Bhutan, 1 April lalu.
Sebagai ganti, Cheng Hoe
menyenaraikan tiga pemain Kedah iaitu penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim,
Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali, Nasir Basharudin dan Amirul Azhan Aznan
(Perak), Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), N Thanabalan (Negeri Sembilan) dan
Danial Ashraf Abdullah (Kelantan).
Melengkapkan senarai 23 pemain,
Cheng Hoe turut menyenaraikan semula pemain bersama pasukan menentang Mongolia
22 Mac lalu diketuai Ahmad Hazwan Bakri, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan
La’vere Corbin-Ong (JDT) serta Rawilson Batuil (Sabah).
“Saya gunakan peluang yang ada
untuk dapatkan pilihan terbaik. Apa yang boleh saya katakan, ini sebagai
persediaan untuk masa depan pasukan negara. Apapun, pintu untuk pemain senior
masih belum tertutup kerana jika mereka berada pada prestasi terbaik, saya juga
sedia menyenaraikan mereka.
“Buat masa sekarang, saya lihat
ia masih di peringkat ujian dan saya akan gunakan enam perlawanan ini untuk
menilai secara menyeluruh bagi mendapatkan kombinasi terbaik sebelum ke Piala
AFF nanti,” katanya yang menambah semua pemain terbabit perlu melapor diri 1
Julai ini.
Selepas aksi menentang Fiji,
Harimau Malaya dijadualkan mengharungi lima lagi aksi persahabatan kelas A
bertemu Taiwan (7 September), Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober),
Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).
Kesemua perlawanan ini sebagai
persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2018 yang bakal berlangsung pada 8 hingga
15 Disember depan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A
bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.
Info
Senarai pemain: Nazmi Faiz
Mansor, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Ahmad Hazwan Bakri, La’vere Corbin-Ong,
Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT), Hafizul Hakim Khairul Nizam
Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Nasir
Basharudin (Perak), Ifwat Akmal Chek Kassim, Akram Mahinan, Syazwan Zainon,
Rizal Ghazali (Kedah), Zaquan Adha Abdul Radzak, Syazwan Andik Ishak, Irfan
Zakaria (Kuala Lumpur), Wan Zack Haikal Wan Nor (FELDA United), Khairul Fahmi
Che Mat (Melaka United), N Thanabalan (Negeri Sembilan), Rawilson batul
(Sabah), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan).
Sumber-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 22 Jun 2018 @ 4:39 PM
No comments:
Post a Comment