Ad

Monday, 25 March 2019

Faiz tekad bukti kekurangan bukan halangan

Faiz tekad bukti kekurangan bukan halangan
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Fizikal pemain tengah negara, Mohd Faiz Nasir mungkin terlalu kecil untuk beraksi di pentas antarabangsa tetapi dia sudah membuktikan betapa semangat juang dan kualitinya yang dimilikinya jauh lebih besar.

Ia dibuktikan apabila dia berjaya meledak gol dalam penampilan sulungnya bersama Harimau Malaya di Piala Airmarine menentang Afghanistan yang menyaksikan skuad negara menang 2-1.

Peluang diberikan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe pantas dibalas dan kelibatnya atas padang langsung tidak seiring dengan sikapnya yang pemalu di luar padang malah sering memeningkan pemain Afghanistan menerusi gerak lincahnya.

“Ini rezeki saya dapat menjaringkan gol dalam penampilan pertama bersama skuad kebangsaan. Kalau tengok kepada saiz saya yang kecil, mungkin orang tidak percaya yang saya bermain untuk Malaysia.


Pemain Malaysia, Mohd Faiz Mohd Nasir melepasi pemain Afghanistan, Hassan Amin ketika perlawanan Piala Airmarine 2019 antara Malaysia menentang Afghanistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Asyraf Hamzah
“Memang saya terpaksa bersaing dengan pemain lawan yang lebih besar tetapi itu bukan halangan. Saya masih rasa selesa untuk bermain,” katanya.

Pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin, Afghanistan terlebih dulu membuka jaringan menerusi Faysal Shayesteh pada minit ke-32 sebelum Faiz meledak gol penyamaan pada minit ke-44.

Kemudiannya, Matthew Davies mencetus kemenangan skuad negara apabila hantaran lintang dilakukannya terbias pertahanan lawan, Abassin Alikhil sebelum masuk ke gawang sendiri.

Dalam masa sama, Faiz yang beraksi bersama pasukan Selangor di kancah Liga Super berterima kasih kepada Cheng Hoe dan rakan sepasukan kerana banyak membantunya untuk cuba tampil aksi terbaik.

“Mungkin (tidak diturunkan ketika aksi dengan Singapura) ia disebabkan saya baharu pertama kali bersama pasukan kebangsaan.

“Mereka (rakan sepasukan) pun gembira apabila saya berjaya jaringkan gol. Kalau terus dipanggil, saya sedia untuk sumbangkan khidmat bersama Harimau Malaya,” katanya.
SUMBER-BH ONLINE Isnin, 25 March 2019 | 10:08am

No comments:

Post a Comment