MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KRITIKAN yang diterima ketika aksi persahabatan menentang skuad bawah 22 (B-22) Australia sebelum ini diambil sebagai tonik dan pembakar semangat buat penjaring dua gol skuad negara, Akhyar Rashid ketika membenam Filipina 3-0 malam kelmarin.
Dia yang beraksi longlai dan dikatakan ‘lembik’ ketika seri 1-1 dengan Australia, membalas kritikan itu apabila meledak gol pada minit keempat dan ke-31 sebelum Faisal Halim menambah gol ketiga untuk meraih kemenangan dalam aksi Kumpulan J Kelayakan B-23 AFC.
Bekas pemain Kedah yang kini beraksi dengan Johor Darul Ta’zim, mengakui bersyukur kerana berjaya membantu pasukan mencapai misi meraih tiga mata pertama.
“Semua bagi komitmen yang bagus, hantaran juga semuanya tepat dan dalam kotak penalti lawan kami juga berjaya sudahkan beberapa peluang. Terima kasih kepada rakan yang mengikut segala arahan jurulatih.
“Malah, itu (kritikan) sudah tentu saya ambil sebagai pembakar semangat. Sebenarnya ketika aksi itu, bukanlah saya ambil mudah cuma Australia amat konsisten dan kami pula baru nak serasi.
“Tapi alhamdulillah, kami semakin meningkat dan akan beri komitmen sepenuhnya untuk aksi seterusnya nanti,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan Safawi Rasid mahu rangkaian trio ‘SAH’ yang diketuai olehnya, Akhyar dan Hadi Fayyadh Razak tampil lebih berbisa apabila turun pada aksi kedua menentang Laos malam ini.
Katanya, jentera serangan perlu lebih tajam dan memanfaatkan peluang dengan baik bagi meraih jumlah jaringan besar yang boleh menjadi penentu buat mencari juara kumpulan sekali gus mara secara automatik ke pusingan akhir di Bangkok Januari depan.
“Kalau boleh kami nak jaringkan gol lebih. Hari ini (kelmarin) banyak pasukan lain menang 6-0 dan 7-0, saya rasa lawan Laos ini penting kerana aksi terakhir lawan China tak nak gagal dari segi perbezaan gol.
“Apa pun, rakan saya dah beri yang terbaik menentang Filipina dan saya amat berpuas hati,” kata pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Hanya juara daripada 11 kumpulan pusingan kelayakan akan meraih tiket automatik bersama tuan rumah Thailand, manakala empat lagi pasukan akan diisi oleh empat naib juara kumpulan terbaik bagi melengkapkan 16 pasukan terakhir.
sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:00 AM
No comments:
Post a Comment