BERNAMA
SEBUT sahaja Pasar Besar Kedai
Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu,
akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan
jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.
Namun, wajah Pasar Payang yang
selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah, apabila kerajaan
negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk
digantikan dengan pasar lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April
ini.
Kesemua peniaga sudah diarahkan
berpindah secara berperingkat ke bangunan yang terletak hampir 80 meter dari
bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta
dijangka siap dua tahun lagi.
Tinjauan Bernama ke pasar yang
terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai
Terengganu itu mendapati, rata-rata peniaga masih dihimpit perasaan berbelah
bahagi untuk berpindah, kerana pasar yang menjadi sebahagian daripada hidup
mereka tentunya meninggalkan pelbagai memori terutamanya, bagi peniaga asal di
situ.
Ibrahim Jusoh, 65, yang berniaga
sejak 1960-an berkata, Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar
tahun 1980-an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri.
Katanya, pasar itu menjadi tapak
perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya Melayu, yang menyimpan terlalu banyak
kenangan suka duka dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali
mengalami perubahan struktur.
“Sebelum adanya kompleks pasar
seperti hari ini, Pasar Payang hanya terdiri dari deretan kedai kecil yang
menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga
sayur serta buah-buahan.
“Pada 1964 barulah ia dibangunkan
sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang
dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat
asal itu sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama.
PENIAGA di Pasar Payang. FOTO
Arkib NSTP
Mengimbas kenangan, Ibrahim
berkata, dia mula berniaga di situ sejak berusia sembilan tahun dengan
mengikuti ibunya yang menjual makanan ayam seperti jagung, sekam dan padi.
Menurutnya, keadaan pada waktu
itu amat berbeza dengan hari ini, yang mana hanya sekitar 70 hingga ke 80
peniaga, sementara barang dagangan hanyalah kuih-muih, sayur-sayuran dan
buah-buahan.
Bagaimanapun, lama kelamaan
semakin ramai peniaga bertapak di situ dan jualan juga dipelbagaikan kepada
barangan basah, batik, songket, tembaga dan sebagainya.
“Sepanjang pak cik berniaga di
sini, adalah tiga atau empat kali berpindah disebabkan kerja membaiki dan
membesarkan bangunan Pasar Payang.
“Malah, dulu-dulu berdekatan
pintu masuk Pasar Payang, ada sebuah menara jam besar yang berdiri megah di
situ dan menjadi tumpuan orang ramai,” katanya yang masih menyimpan koleksi
gambar lama Pasar Payang sebagai kenangan.
Lebih nostalgia, Ibrahim berkata,
Pasar Payang dirasmikan Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail
Nasiruddin Shah 31 Ogos 1968 yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong
keempat.
Seorang lagi peniaga asal di
situ, Ibrahim Mohamad, 75, berkata, memori paling diingati ketika mencari
rezeki di situ ialah kesibukan peniaga serta orang ramai memunggah barangan
dari perahu ke pasar.
Bermula dengan mengambil upah
mengangkut barangan, Ibrahim mula berjinak-jinak berniaga buah-buahan, bagi
menyara isteri serta 15 orang anak yang masih kecil.
“Sekitar tahun 1960-an hingga
awal 80-an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat dari Paloh,
Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus yang datang membawa barang dagangan
masing-masing.
“Pada masa itu buah-buahan dijual
secara longgok sahaja, iaitu RM1 untuk 20 biji limau yang dibekalkan oleh orang
kampung.
“Malah, ketika itu penggunaan
sukatan masih dalam unit tahil, kati dan pikul bukannya kilogram seperti
sekarang,” katanya yang tidak dapat menahan rasa sayu, apabila mengenangkan
Pasar Payang yang bakal bertukar wajah.
Sungguhpun begitu, Ibrahim yang
sudah lebih 50 tahun berniaga di situ tetap akur, dengan pelan pembangunan yang
diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pasar Payang, seperti suatu masa
dahulu.
Nama Pasar Payang, yang beroperasi
seawal 7 pagi hingga 6 petang itu, diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering
digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu, dan pada awalnya
ia hanyalah gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada 1968.
Bangunan dua tingkat yang bakal
dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik
dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual
barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 3 Mac 2019 @ 11:02 AM
No comments:
Post a Comment