12 Ogos 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Persatuan
Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (EFA) menggugurkan Mohammed Khalfan Al-Harazi
selepas mendapati pemain tengah skuad Bawah 23 (B-23) mereka itu menjadi punca
kepada pergaduhan ketika menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan di
Stadium Shah Alam semalam.
EFA dalam kenyataannya turut
memohon maaf kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas insiden berkenaan
sambil menyifatkan tindakan Khalfan mencemarkan imej pasukan selain membunuh
semangat kesukanan.
“Kami berasa kesal dan mengutuk
tindakan yang dicetuskan oleh Mohammed Khalfan Al-Harazi kerana menjadi punca
kepada insiden pergaduhan malah tindakannya itu tidak menunjukkan moral serta
semangat kesukanan yang sentiasa menjadi slogan pasukan kebangsaan dan kelab dalam
setiap perlawanan.
“Berdasarkan laporan awal yang
diterima daripada barisan pegawai dan jurulatih, kami memutuskan untuk
menggugurkan Mohammed Khalfan Al-Harazi daripada senarai pemain yang akan
menyertai Sukan Asia 2018.
“Selain itu, Khalfan akan dirujuk
kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas pemain itu
mengikut prosedur dan undang-undang yang sudah ditetapkan selari dengan
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.
Malaysia sedang mendahului UAE
2-0 apabila pergaduhan tercetus pada masa kecederaan babak kedua selepas
Khalfan mengasari pemain negara yang kemudian membalas.
Pergaduhan merebak sehingga
melibatkan pemain di bangku simpanan kedua-dua pasukan malah lebih memburukkan
keadaan ada yang menggunakan kerusi sebagai senjata.
Sementara itu, Setiausaha Agung
FAM, Stuart Ramalingam berkata mereka telah menerima permohonan maaf daripada
EFA selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan sejurus perlawanan tamat.
“Saya dan Datuk Hamidin Mohd.
Amin (Presiden FAM) terus mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Agung EFA,
Mohammed Hazzam Al Dhaheri dan juga naib presidennya, Abdulla Naser Al Jneibi
serta Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.
“Selepas perbincangan, FAM telah
menerima surat rasmi daripada UAE FA menyatakan mereka meminta maaf di atas
insiden tersebut dan mengambil serius apa yang berlaku itu dengan akan
melakukan siasatan dalaman bagi tindakan diambil kepada pemain dan pegawai
pasukan berkenaan yang terlibat.
“Bagi pihak FAM pula, kami akan
mengemukakan laporan daripada Komisioner Perlawanan (MC) dan juga pengadil
kepada AFC pada hari ini dan seterusnya akan membuat tindakan susulan dengan
AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua
pihak,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/efa-kemuka-permohonan-maaf-1.727330#ixzz5O3v67Frf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment