MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
GANDINGAN serangan tiga serangkai
- Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad - jelas berbisa apabila
masing-masing meledak gol untuk memastikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara
membuka langkah kanan dengan menewaskan Kyrgyzstan 3-1 pada aksi pembukaan
Kumpulan E Sukan Asia Jakarta-Palembang, sebentar tadi.
Tiga mata yang diraih di Stadium
Si Jalak Harupat, Bandung itu pasti menyuntik keyakinan buat skuad kendalian
Datuk Ong Kim Swee yang bakal berdepan tugas lebih getir menentang juara
bertahan, Korea Selatan, Jumaat ini sebelum aksi terakhir dengan Bahrain pada
Isnin.
Dalam aksi itu, Kim Swee
mempertaruhkan barisan sama ketika menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0
dalam aksi pemanas badan kecuali memasukkan penjaga gol Haziq Nadzli bagi
mengambil tempat Ifwat Akmal Chek Kassim untuk kekal dengan formasi 3-4-3.
Sebaik permainan bermula,
Kyrgyzstan yang dibimbing Igor Kudarenko lebih awal mendapat rentak dengan
membuat percubaan awal menerusi Kairat Zhyrgalbek pada minit ketiga.
Peluang terbaik Malaysia hadir
pada minit ke-13 apabila penyerang Syafiq Ahmad melorongkan bola kepada Akhyar
Rashid namun dia terlambat untuk menolak bola ketika berdepan situasi satu
lawan satu dengan Kalysbek Akimaliev.
Kepantasan Akhyar jelas
mengundang masalah kepada pertahanan lawan apabila pemain muda Kedah itu
dijatuhkan kapten, Tamirlan Kozubaev untuk pengadil Lau Fong Hei menghadiahkan
sepakan penalti.
Safawi yang diberikan tugas untuk
menyempurnakan sepakan itu menyaksikan bola rembatan kaki kirinya singgah di
tiang gol sebelum melantun menerjah ke gawang untuk Malaysia mendahului 1-0
pada minit ke-37.
Anak buah Kim Swee diasak pada
babak kedua oleh Kyrgyzstan yang akhirnya berjaya mengikat kedudukan pada minit
ke-55 apabila penyerang, Ernist Batyrkanov yang tidak dikawal mudah menanduk
masuk bola hantaran Mustafa Iusupov.
Namun, Akhyar sekali lagi mencuri
tumpuan apabila melepaskan rembatan menarik dari dalam kotak penalti selepas
menerima bola hantaran lintang Safawi untuk membolehkan Malaysia kembali
mendahului 2-1 pada minit ke-55.
Safawi sekali lagi menjadi
perancang kepada serangan skuad negara apabila bola umpanannya dari sebelah
kanan ditanduk masuk Syafiq untuk memastikan Malaysia selesa mendahului 3-1 di
minit ke-78.
Skuad negara sepatutnya boleh
berpesta gol namun beberapa percubaan menerusi gerakan solo Akhyar gagal menepati
sasaran.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 15 Ogos 2018 @ 7:10 PM
No comments:
Post a Comment