MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
SKUAD bola sepak negara
membuktikan tiada apa yang mustahil apabila membuat kejutan terbesar pada Sukan
Asia Jakarta-Palembang apabila berjaya mengejutkan juara bertahan, Korea
Selatan 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan E, sebentar tadi.
Penyerang negara, Muhammad Safawi
Rasid muncul wira apabila meledak kedua-dua gol dalam aksi di Stadium Si Jalak
Harupat, Bandung itu yang turut menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau
kemenangan selama 44 tahun di tangan Korea Selatan dalam temasya terbesar Asia
itu.
Kali terakhir skuad negara
menewaskan lawan itu pada temasya Tehran 1974 di mana skuad dibarisi legenda
bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari menang 3-2 pada pusingan kedua sebelum
menamatkan aksi dengan meraih pingat gangsa.
Bagaimanapun, dalam aksi sebentar
tadi, Datuk Ong Kim Swee hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan
utama ketika menewaskan Kyrgyzstan 3-1 Rabu lalu apabila menggantikan Nik Akif
Syahiran Nik Mat dengan Muhammad Syahmi Safari Abdul Rashid bagi menguatkan
bahagian tengah.
Percaturan pengendali Korea
Selatan, Kim Hag Bum yang merehatkan penjaga gol Piala Dunia, Woo Jo Hyeon
memakan diri apabila penjaga gol kedua, Song Bum Keun menghadiahkan gol pertama
kepada skuad negara.
Ia susulan kesilapan Bum Keun
yang gagal menangkap kemas bola selepas bertembung dengan rakan sepasukan yang
kemudiannya berjaya dihidu Safawi untuk menolak masuk ke gawang yang sudah
ternganga seawal minit kelima.
Korea Selatan yang hadir dengan
reputasi hebat tidak berputus asa apabila cuba bangkit memburu gol penyamaan
dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu Malaysia.
Hwang Ui Jo berpeluang mengikat
kedudukan pada minit ke-18 selepas menerima hantaran cantik Hwang Hee Chan
namun rembatan kaki kanannya sedikit melambung ketika Haziq Nadzli sudah pun
tertewas.
Jaguh Asia itu terus meningkatkan
tekanan dengan kali ini gerakan satu dua antara Hee Chan dan Lee Si Young pada
minit ke-33 berjaya dihalang Haziq yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.
Ketika skuad Taeguk Warriors
rancak menyerang, anak buah Kim Swee menambah gol kedua sekali lagi menerusi
Safawi yang berjaya memperdaya pertahanan lawan sebelum melepaskan sepakan
tonjol pada hujung aksi babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua,
Hag Bum membuat dua pertukaran dengan antaranya memasukkan bintang Tottenham
Hotspur, Son Heung Min bagi menambah sengat di jentera depan mereka.
Ternyata kemasukan Heung Min
mengubah corak persembahan mereka dan biarpun Ui Jo berjaya merapatkan
kedudukan 2-1 pada minit ke-87, ia tidak mampu menghalang Malaysia untuk meraih
kemenangan kedua sekali gus mara ke pusingan kedua.
Selepas ini skuad negara akan
melengkapkan jadual dengan menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang
Isnin ini, manakala Korea Selatan bertemu Kyrgyzstan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 10:16 PM
No comments:
Post a Comment