Jepun miliki semangat juang
tinggi, pertahanan yang cukup mantap
22 Ogos 2018 1:58 AM
BADDROL (kiri) optimis rakan
sepasukan mampu melakar kejutan ke atas Jepun pada aksi 16 pasukan terbaik di
Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi Jumaat ini.
BEKASI, Indonesia – Kapten skuad
bawah 23 tahun (B-23) negara, Baddrol Bakhtiar berharap dapat menggunakan
pengalamannya di pentas antarabangsa bagi membantu pasukan mencipta kejutan ke
atas skuad muda Jepun dalam pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018 Jumaat ini.
Baddrol yang beraksi dalam
kesemua perlawanan peringkat Kumpulan E termasuk ketika tewas kepada Bahrain
percaya skuad negara mempunyai kualiti untuk menewaskan skuad Samurai Biru itu.
Sebagai rekod, Malaysia minggu
lalu mencipta kejutan dengan menewaskan pemenang pingat emas edisi 2014, Korea
Selatan 2-1 untuk muncul juara kumpulan.
“Secara peribadi, saya tidak akan
memandang rendah pasukan Jepun. Walaupun mereka masih muda tetapi pasukan itu
telah lama dibentuk dan sudah tentu ia memberi kelebihan pada aspek
persefahaman dan keserasian pemain.
“Kami berkesempatan untuk melihat
aksi mereka menentang Vietnam minggu lalu dan saya berpandangan Jepun merupakan
pasukan yang mempunyai semangat juang tinggi selain kelebihan pertahanan yang
cukup mantap,” katanya.
Ketua pasukan Kedah itu turut
percaya peluang kedua-dua pasukan seimbang tetapi dengan syarat barisan pemain
perlu menyudahkan peluang terhidang sebaik mungkin selain elakkan kesilapan
mudah.
“Pasukan sudah tentu menyasarkan
kemenangan dan barisan pemain perlu bijak mengintai ruang dan peluang serta
menggunakan kelemahan mereka untuk mencerahkan peluang ke suku akhir.
“Saya harap rakan-rakan sepasukan
mampu melakar satu lagi sejarah kerana jika kita boleh menewaskan Korea
Selatan, sudah tentu ada peluang untuk menundukkan Jepun,” ujar Baddrol.
SUMBER-KOSMO ONLINE 22 Ogos 2018
1:58 AM
No comments:
Post a Comment