Tekad gegar gawang Jepun pada aksi kalah mati
24 Ogos 2018 3:00 AM
SAFAWI (kiri) tekad membantu skuad muda negara menewaskan Jepun pada aksi 16 pasukan terbaik Sukan Asia di Bekasi malam ini.
JAKARTA, Indonesia. - Penyerang muda sensasi negara, Safawi Rasid sekali lagi bersedia untuk menjadi pemusnah pasukan gergasi menjelang pertemuan menentang Jepun pada pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi malam ini.
Sebagai rekod, Safawi mencipta fenomena tersendiri dengan meledak empat gol dalam tiga perlawanan lepas yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mencipta kejutan muncul selaku juara Kumpulan E.
Lebih menarik, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi wira pasukan negara selepas meledak dua gol untuk menumbangkan gergasi Asia Timur yang juga juara bertahan, Korea Selatan di Bandung minggu lalu.
Kini, pemain berusia 21 tahun itu percaya dia berada dalam prestasi terbaik kariernya untuk membantu pasukan negara mengesahkan kelayakan ke pusingan suku akhir.
“Saya gembira dengan aksi yang dipamerkan pada peringkat kumpulan termasuk perlawanan ketiga ketika menentang Bahrain meskipun dimasukkan sebagai pemain gantian.
“Saya berjaya meledak gol pada perlawanan tersebut dan secara tidak langsung mendapat rehat yang cukup untuk memastikan cergas sepenuhnya pada aksi bertemu Jepun esok (malam ini),” katanya.
Skuad muda Harimau Malaya diletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod pencapaian kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 (AFC) yang menyaksikan mereka mara sehingga ke peringkat suku akhir.
Mengulas lanjut, Safawi mengakui di atas kertas pasukan Samurai Biru itu memiliki kelebihan tersendiri tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.
“Saya berazam untuk berikan aksi 100 peratus dan berusaha untuk menyudahkan peluang terhidang dengan sebaiknya,” kata pemain kelahiran Terengganu itu.
SUMBER-KOSMO ONLINE 24 Ogos 2018 3:00 AM
No comments:
Post a Comment