MUHAMMAD NORDIN TUAH menunjukkan gambar
kenangan ketika menyertai tentera serta kad pesara tentera miliknya ketika
ditemui di rumahnya di Padang Tembak, Teluk Intan, Perak, semalam.
21 Ogos 2018 3:00 AM
TELUK INTAN 20 Ogos – Hari Kebangsaan
yang disambut pada setiap 31 Ogos mungkin tidak begitu membawa makna bagi
sesetengah rakyat khususnya golongan muda.
Namun, bagi pesara tentera,
Muhammad Nordin Tuah, 78, atau lebih mesra dipanggil Pak Din, nyawanya hampir
melayang ketika menentang komunis pada 8 Mac 1979 demi mempertahankan
kedaulatan negara yang dibentuk pada tarikh keramat tersebut.
Bagi Muhammad Nordin, bukan mudah
untuk negara mencapai kemerdekaan, namun lebih payah untuk mempertahankan
kemerdekaan itu selepas pelbagai ancaman termasuk komunis masih
bermaharajalela.
Menurut bekas Sarjan Batalion
ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ini, dia tidak pernah melupakan detik
cemas berhadapan komunis di Kroh, Perak yang kini dikenali sebagai Pengkalan
Hulu itu.
“Kejadian berlaku pada kira-kira
pukul 10 pagi ketika kami berkonvoi dengan menaiki tiga buah kenderaan dari
Pekan Kroh menuju ke sebuah markas tentera berhampiran sempadan
Malaysia-Thailand antara Air Panas dengan Betong untuk menghantar bekalan
makanan.
“Kejadian berlaku terlalu pantas,
saya tidak sempat beri amaran kepada rakan lain yang berada di belakang kami
dan saya lihat mereka sudah terkena tembakan. Saya juga turut terkena tembakan
di tangan, perut dan peha,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak
di sini baru-baru ini.
Tambah Muhmamad Nordin, tanpa
berasa takut dan gentar beliau kemudiannya mencapai senapang dan terus berdiri
dan menjerit Allahuakbar beberapa kali sambil melepaskan tembakan.
“Ketika itu saya sudah tidak
fikirkan nyawa sendiri, apa yang penting komunis perlu dihapuskan dan bekalan
makanan perlu selamat daripada dirampas mereka.
“Saya sendiri tidak tahu mana
datang semangat untuk berdiri dalam keadaan cedera parah dan melawan musuh
ketika itu,” katanya yang terkena lima das tembakan tepat selain serpihan
peluru dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, selepas pihak
musuh melihat dia menjerit Allahuakbar sambil melepaskan tembakan mereka terus
melarikan diri ke dalam hutan.
Tambah Muhammad Nordin, dua
rakannya terkorban dalam pertempuran itu, manakala lima lagi termasuk dirinya
cedera dan diterbangkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapatkan
rawatan.
Kata beliau, meskipun peluru di
tangan, perut dan peha telah dibuang melalui beberapa pembedahan selepas
kejadian itu, namun masih terdapat sebutir lagi peluru di pehanya yang masih
boleh dirasai jika ditekan menggunakan jari.
Ditanya sama ada beliau trauma
atau tidak selepas serangan itu, Muhammad Nordin berkata, perkataan trauma
tiada dalam kamus hidupnya malah dirinya cukup bersyukur kerana diberi peluang
untuk bertempur dengan komunis demi tanah air.
“Bukan senang untuk kita mencapai
kemerdekaan malah banyak nyawa yang telah terkorban demi mempertahankannya.
Kemakmuran dan keamanan yang negara kecapi sekarang bukan datang dengan
sendiri, Jadi hargailah dan berusahalah untuk terus mempertahankannya,”
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/nyawa-pak-din-hampir-melayang-1.733049#ixzz5OoYzOaZR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment