Ad

Wednesday, 5 June 2019

Harimau Malaya sambung latihan pada Aidilfitri

BERNAMA | 05 Jun 2019
 Sambutan Aidilfitri dan cuaca hujan tidak melemahkan semangat skuad Harimau Malaya untuk meneruskan latihan menjelang aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste.- FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri dan cuaca hujan tidak melemahkan semangat skuad Harimau Malaya untuk meneruskan latihan menjelang aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste.


Ketika umat islam dan rakyat Malaysia meraikan 1 Syawal dan cuti umum, skuad Harimau Malaya pula sedang gigih membuat persiapan untuk dua perlawan 'play-off’menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Jumaat ini dan Selasa depan.

Selain suasana perayaan, para pemain juga terpaksa mengawal pengambilan makanan untuk menjaga kecergasan mereka.


Skuad kendalian Tan Cheng Hoe, yang mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Nepal di venue yang sama Ahad lalu, kembali meneruskan latihan hari ini, selepas meluangkan masa bersama keluarga selama dua hari.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-168 dunia, perlu mencatatkan kemenangan agregat ke atas Timor Leste untuk mara ke pusingan kedua kempen kelayakan itu, yang bakal menyaksikan pertembungan antara 40 pasukan terbaik Asia untuk memburu tiket kelayakan ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan Piala Asia 2023 di China.

Antara pemain yang turun padang adalah pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba serta La’Vere Corbin-Ong.

Bagi Safawi, pengorbanan yang dilakukan itu bukan satu perkara yang mustahil demi tanggungjawab terhadap negara.

"Tahun ini saya tak makan lemang dan rendang sebab saya tahu sebagai pemain profesional, saya ada tanggungjawab terhadap negara dan tahu apa yang perlu dimakan. Pagi tadi saya hanya makan sedikit nasi minyak ketika beraya bersama keluarga di Terengganu.


"Bagi saya tiada masalah kerana perlawanan ini sangat penting buat pasukan dan kami harus mendapatkan kemenangan. Kita tidak boleh mengambil mudah Timor Leste, perlu beri fokus 100 peratus.

"Jadi, kita kena lupakan Hari Raya buat seketika dan fokus pada persiapan. Hari Raya boleh disambut setiap tahun, tapi kelayakan ini hanya empat tahun sekali," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Memandangkan kedua-dua perlawanan itu terpaksa dilangsungkan pada musim perayaan kerana kalendar FIFA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan promosi tiket beli satu percuma satu kepada penyokong, di mana tiket dijual pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa, RM50 bagi grandstand dan RM5 bagi kanak-kanak. - Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/31400/BERITA/Sukan/Harimau-Malaya-sambung-latihan-pada-Aidilfitri© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

No comments:

Post a Comment