Ad

Sunday, 9 June 2019

Jangan 'hanyut' dalam pesta gol

MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
WALAUPUN skuad Harimau Malaya meraih kemenangan besar selepas menewaskan Timor Leste 7-1 malam kelmarin, namun pengendalinya Tan Cheng Hoe menganggap perlawanan terbabit bukanlah yang terbaik dipamerkan pemain kerana banyak kesilapan mudah dilakukan anak buahnya.

Cheng Hoe berkata, kesilapan mudah terbabit boleh ‘memakan diri’ jika tidak diperbaiki atau ditangani pemain yang kemungkinan berhadapan dengan barisan lebih kuat Timor Leste pada aksi kedua nanti apabila mereka mahu mencatatkan kemenangan selepas diaibkan dengan jaringan besar.

Beliau berkata, walaupun berpesta gol pada perlawanan pertama, ia bukanlah tiket untuk menurunkan barisan kedua pada perlawanan Selasa nanti.

“Kita perlu berwaspada dengan serangan balas Timor Leste yang bijak menyempurnakan peluang terhidang, sekali gus akan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan kedua bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

“Namun, apa yang penting sekarang ini adalah memastikan semua pemain bebas daripada kecederaan terutama Muhammad Syafiq Ahmad yang dimaklumkan serius.
 
AKHYAR pamer aksi cemerlang selepas meledak jaringan ke atas Timor Leste.
“Oleh itu, kita tidak akan menurunkan pasukan kedua dan tetap dengan barisan kesebelasan utama bagi menghadapi perlawanan kedua nanti” katanya dalam sidang media selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Pada perlawanan malam kelmarin, Malaysia menang bergaya dengan jaringan besar apabila menewaskan Timor Leste 7-1.

Kedudukan itu sekali gus menyaksikan Malaysia membawa bekalan selesa bagi mengharungi aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Selain itu, menurutnya, skuad Harimau Malaya sepatutnya menyumbat lebih banyak gol apabila gagal manfaat sekurangnya lima peluang di hadapan gol lawan.

“Walaupun ada beberapa pemain utama tidak menjaringkan gol seperti Mohamadou Sumareh, namun dia bijak merencanakan serangan dan bantuan gol untuk pasukannya. Selain itu, pemain gantian seperti Muhammad Shahrel Fikri, Muhammad Akhyar Rashid dan Faiz Nasir juga bermain dengan baik sehingga mampu menjaringkan gol,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:05 AM

No comments:

Post a Comment