MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
BEKAS penggempur berbisa Harimau Malaya, Safee Sali mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memandang enteng kemampuan penyerang tempatan apabila skuad negara beraksi diperingkat antarabangsa.
Jelas pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu, usaha FAM untuk memburu penyerang naturalisasi selepas membawa masuk pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh perlu dinilai semula dan memberi peluang kepada penyerang tempatan.
“Jika dipanggil (sertai skuad negara) saya tidak ada masalah. Jika tidak dipanggil pun saya tidak berkecil hati. Sekarang ramai pemain muda dan berkualiti.
“Semua perancangan terletak di tangan ketua jurulatih. Tapi janganlah sampai penyerang kita pun nak pakai naturalisasi. Biar tempatan asalkan jangan campuran,” katanya menerusi luahan di laman Facebook miliknya, semalam.
Ketika ini, FAM sudah menyenarai pendekkan tiga tonggak naturalisasi dengan keutamaan pemilihan adalah mencari penyerang tulen untuk mengetuai jentera serangan skuad Harimau Malaya.
Antara nama yang dikaitkan ialah penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, bekas penyerang Melaka United dan Kedah, Liridon Krasniqi dan ayam tambatan UKM FC, Michael Ijezie.
Bagaimanapun, dengan aksi tidak menentu Ijezie serta kehilangan misteri Liridon yang lari ke Perancis sebelum digugurkan oleh Melaka United Mei lalu, menyaksikan De Paula kini calon penyerang tunggal untuk mengisi posisi itu.
Ketika ini, De Paula sudah meledak sejumlah 48 gol dalam 53 penampilan bersama Kuala Lumpur sejak 2017 dan dia hanya perlu menunggu sehingga tahun depan untuk memenuhi syarat beraksi selama lima tahun di Liga Malaysia sebelum boleh dinaturalisasikan sebagai pemain tempatan.
Untuk rekod, Sumareh yang beraksi di bahagian sayap kanan adalah tonggak naturalisasi pertama negara dan kehadiran pemain kelahiran Gambia itu berjaya membantu pasukan muncul naib juara Piala AFF pada Disember lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 6:54 PM
No comments:
Post a Comment