Ad

Monday, 3 June 2019

MUSA sedia selesai tunggakan gaji


MyMetroArena
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my
 
AYER KEROH: Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari, secara berterus terang memaklumkan yang Melaka United (MU) sendiri berdepan isu tunggakan gaji pemain yang berpunca daripada masalah pengurusan terdahulu.

Menurut Adly yang juga Menteri Besar Melaka, perbelanjaan melebihi bajet yang disediakan bagi pembayaran gaji bulanan menjadi faktor penyebab isu tunggakan gaji pemain bola sepak melanda dalam kancah Liga Malaysia, malah skuad Hijau Putih itu juga tidak terkecuali.

“Sebab itu, sebaik kita mengambil alih kerajaan negeri, banyak isu berkaitan tunggakan gaji yang sebahagian besarnya sudah kita selesaikan.

“Saya faham, masih ada beberapa individu (pemain) masih belum menerima tunggakan gaji dan kita akan semak segera.

“Tunggakan ini membabitkan jumlah yang besar. Jika kita lihat tahun lalu, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan sebulan untuk membayar gaji pemain.

“Bagaimanapun, kita berjaya mengurangkan sehingga 38 peratus daripada jumlah terbabit sebulan mengikut kemampuan kita bagi mengharungi liga musim ini,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Adly berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas pemain MU, Azmi Muslim bahawa pemain itu masih belum menerima tunggakan gaji bulanan bersama MU.

Melalui status di Twitter terbaharunya, pemain pertahanan itu bertanya kepada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA) mengenai kata putus bagi menyelesaikan tunggakan gaji dihadapinya.

Malah lebih parah, selain menunggu tunggakan gaji MU, pemain berusia 32 tahun yang kini beraksi dengan pasukan Perlis didakwa turut berdepan isu tunggakan gaji dari skuad Singa Utara.

Mengulas lanjut, Adly berkata, pengurusan baharu MUSA yakin isu mengenai tunggakan gaji bekas pemain akan dapat diselesaikan selepas proses mengemas kini laporan termasuk soal penajaan.

“Kita jangkakan isu ini dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan dua ini. Kita yakin, dalam tempoh berkenaan, ia boleh diselesaikan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:26 PM

No comments:

Post a Comment