SAFAWI RASID (kanan) melepasi pemain Nepal, Sujal Shrestha dalam aksi persahabatan Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.- BERNAMA
03 Jun 2019 12:38 AM
KUALA LUMPUR - Harimau Malaya mendapat suntikan moral menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Timor Leste nanti apabila menumpaskan Nepal 2-0 dalam perlawanan persahabatan Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe terlebih dahulu berada di depan selepas pemain sayap Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-51, sebelum pertahanan Shahrul Saad meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa setengah jam kemudian.
Kemenangan tersebut membolehkan Cheng Hoe mendapat gambaran jelas dalam memastikan kombinasi terbaik untuk berdepan Timor Leste pada perlawanan penting tersebut, yang dijadualkan di Stadium Nasional pada 7 dan 11 Jun ini.
Ini kerana, Cheng Hoe mahu menilai pemain lain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan dua pemain, Muhammad Syahmi Safari dan Mohamadou Sumareh untuk perlawanan menentang Nepal dan Timor Leste.
Muhammad Syahmi mengalami kecederaan buku lali, sementara Mohamadou digantung empat perlawanan dan didenda US$5,000 (RM20,894) oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN kerana membantah keputusan seorang pegawai perlawanan semasa perlawanan final kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam di Hanoi pada 15 Disember lalu.- SUMBER UTUSAN ONLINE 03 Jun 2019 12:38 AM
No comments:
Post a Comment