Ad

Thursday, 6 June 2019

Safawi lupa lemang dan rendang sementara

MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

BERAT cabaran yang terpaksa digalas skuad Harimau Malaya apabila bukan sahaja terpaksa mengorbankan cuti Hari Raya Aidilfitri namun perlu melupakan makanan tradisi demi memastikan mampu memberikan persembahan terbaik ketika menentang Timor Leste esok.

Ia diakui pemain kebangsaan, Safawi Rasid apabila dia terpaksa ‘pantang’ seketika lemang dan daging bagi menjaga diet pemakanan serta terus kekal cergas.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, sebagai seorang pemain dia perlu mengikuti diet pemakanan ketat terutama menjelang perlawanan penting.

"Tahun ini saya tak makan lemang dan rendang sebab tahu sebagai pemain profesional ada tanggungjawab terhadap negara serta tahu apa yang perlu dimakan.

“Saya hanya makan sedikit nasi minyak ketika beraya bersama keluarga di Terengganu.

"Bagi saya tiada masalah kerana perlawanan ini sangat penting buat pasukan dan harus mendapatkan kemenangan.

"Jadi, kita kena lupakan Hari Raya buat seketika dan fokus pada persiapan. Hari Raya boleh disambut setiap tahun, tapi kelayakan ini hanya empat tahun sekali," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini.

Safawi berkata, rakannya yang lain turut melakukan perkara sama kerana tidak mahu menjejaskan momentum masing-masing dan berharap pengorbanan ini berbaloi dengan mencatatkan kemenangan menentang Timor Leste esok.

“Kita tidak boleh mengambil mudah Timor Leste, perlu fokus 100 peratus dan untuk itu perlu ada pengorbanan membabitkan semua pemain,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 9:48 PM

No comments:

Post a Comment