PENYERANG Harimau Malaya, Safawi Rasid (kiri) memanfaatkan pengalamannya beraksi di pentas ACL bagi merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain skuad kebangsaan. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
Fadhilul Izmel Ishak
02 Jun 2019 9:38 PM
KUALA LUMPUR - Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menjadikan pengalaman beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebagai taruhan untuk diserapkan ke dalam skuad 23 akhir Harimau Malaya.
Ketika ini, perebutan tempat dalam senarai akhir 23 pemain skuad kebangsaan masih terbuka dan dijangka ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan menggugurkan dua daripada 25 nama yang dipanggil sehari selepas aksi persahabatan menentang Nepal yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Menyedari persaingan sengit dalam kalangan pemain yang dipanggil, pengalaman bermain pada pentas tertinggi Asia itu pastinya menjadi kelebihan buat Safawi berbanding rakan sepasukan yang lain.
“Secara peribadinya saya berasa lebih yakin memandangkan, musim ini, JDT membuat penampilan di ACL. Bagi saya, beraksi dalam ACL memberi pengalaman berguna kepada kami kerana kami bermain dalam intensiti tinggi, fizikal lawan yang lebih besar serta tempo permainan yang laju.
“ACL juga kejohanan kompetitif tertinggi di Asia dan pastinya ia menjadi batu loncatan kepada saya, bagaimanapun, pada masa sama saya tidak mahu berasa terlalu yakin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Skuad Harimau Malaya akan berdepan Timor Leste dalam kempen Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di venue yang sama pada 7 dan 11 Jun ini.
Mengulas lanjut mengenai persaingan yang dihadapi, pemain dari Terengganu itu berkata, masing-masing menunjukkan komitmen yang tinggi bagi memastikan nama mereka masuk dalam senarai akhir Cheng Hoe.
“Untuk posisi serangan, persaingan sihat. Setiap pemain menunjukkan kelebihan masing-masing. Mengekalkan disiplin dalam dan luar padang. Dari situ jurulatih dapat menyaksikan berlakunya persaingan sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Safawi berkata, dia tidak mempunyai masalah bagi mengawal pemakanan, namun, tidak mempunyai masa yang banyak untuk dihabiskan bersama keluarga.
“Pasal pemakanan tiada isu sebab sepanjang Ramadan saya mengawal makanan yang diambil. Pada Hari Raya Aidilfitri nanti saya perlu kurangkan pengambilan makanan berminyak seperti rendang ayam,” jelas Safawi. –SUMBER UTUSAN ONLINE 02 Jun 2019 9:38 PM
No comments:
Post a Comment