Ad

Sunday, 27 December 2020

Safawi sudah pulang?

MyMetroTopic

Firdaus


Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Adakah benar Safawi Rasid sudah pulang ke Malaysia? Itu tanda tanya yang berlegar dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila gambar terbaharu yang dimuat naik oleh Safawi di laman Instastory bersama pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menimbulkan persoalan.

Menerusi perkongsian itu, tonggak sayap yang dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense SC itu dilihat bersama Tunku Ismail dan rakan sepasukan, Azrif Nasrulhaq.

Malah, lebih menguatkan dakwaan itu apabila penampilan Tunku Ismail dilihat lebih kurus berbanding beberapa bulan lalu ketika Safawi berangkat ke Portugal pada Oktober lalu.

Begitupun, sehingga kini masih tiada kenyataan rasmi mengenai kepulangan Safawi ke tanah air.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengesahkan Safawi akan kembali bersama JDT bagi saingan Liga M musim depan.

Sebagai rekod, Safawi menyertai Portimonense SC yang beraksi dalam Primeira Liga itu dengan status sebagai pemain pinjaman bagi tempoh semusim.

Bagaimanapun, selepas hampir tiga bulan di Eropah, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu masih belum meraih sebarang 'debut' bersama skuad utama Portimonense SC.

Sebaliknya, tonggak Harimau Malaya itu sekadar memanaskan bangku simpanan dan hanya diturunkan ketika bersama skuad bawah 23 tahun menentang Sporting CP yang menyaksikan pasukannnya tewas 1-3.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 7:53 PM

No comments:

Post a Comment