MyMetroArena
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
Alor Setar: Pemain sayap lincah yang kembali bersama Kedah, Syazwan Zainon atau dikenali Wan Karpet bertekad mencipta kegemilangan buat skuad Hijau Kuning dalam saingan yang akan bermula musim depan.
Dia yang memulakan sesi latihan pra musim bersama pemain tempatan baharu lain semalam melahirkan kesyukuran kerana masih diberi peluang dan kepercayaan daripada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan Kedah Darul Aman FC.
"Syukur Alhamdulillah kerana saya masih diberi peluang dan kepercayaan daripada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan.
"Dari segi latihan, mungkin terasa sedikit berat kerana ini baru hari pertama iaitu lepas sebulan kita berehat dan bukan mudah untuk kita dapatkan balik kecergasan, tahap fizikal dan mental dalam masa terdekat, namun dengan usaha dan kerja keras kita akan dapat semula semua ini.
"Sasaran saya adalah mencuba sehabis baik bagi individu dan juga secara berpasukan. Saya mahukan sesuatu, kalau boleh mahukan piala untuk musim depan dan saya tahu ia bukanlah mudah, tetapi Insya-Allah jika kita bekerjasama sebagai satu pasukan, kita boleh menghasilkan sesuatu yang diidamkan," katanya.
Syazwan yang menyertai Selangor selama dua musim berkata, semangatnya kembali kembali memuncak seperti yang dirasainya pada musim penyertaan bersama skuad Lang Merah sebelum ini.
"Saya bersemangat macam ketika beraksi dengan Kedah sebelum ini dan jadi seronok, tambahan kita ada legenda sebagai jurulatih dalam memberi panduan untuk pasukan dan saya yakin mampu untuk buat sesuatu untuk pasukan," katanya.
Ditanya mengenai kebenaran penonton bakal kembali dibenarkan menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2021 nanti, Syazwan melahirkan rasa syukur kerana itulah harapan pemain dan penyokong yang mengharapkan kemeriahan perlawanan kembali di atas padang.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:36 PM
No comments:
Post a Comment