Ad

Monday, 28 December 2020

Gol 'Da Bom' Syahmi ke Puskas...

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@nstp.com.my

Sepang: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mengemukakan nama pertahanan kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA, selepas jaringan menariknya pada minit ke-29 mendapat pujian ramai dan dianggap antara gol tercantik dalam kempen Piala AFF kali ini.

Rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang dilakukan Syahmi nyata mengejutkan penyokong Thailand yang sama sekali tidak menyangka percubaan itu tepat menuju ke penjuru atas kanan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rembatan pemain Selangor itu memang cantik dan pihaknya bersedia untuk menimbangkan gol itu dalam Anugerah Puskas.

"Saya nampak itu (gol Syahmi) yang terbaik dan saya akan bincang dengan bahagian teknikal sama ada jaringan itu perlu atau sesuai untuk kita calonkan nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Syahmi menyambut baik cadangan Hamidin itu dan mengakui teruja seandainya FAM serius untuk mencalonkan golnya itu.

"Saya rasa ada banyak lagi gol cantik yang dijaringkan sebelum ini oleh pemain lain. Tapi kalau betul, saya tak kisah dan menyambut baik benda itu," kata Syahmi.

Sebelum ini, pemain Pulau Pinang, Faiz Subri menggegar dunia dengan sepakan percuma apabila mencipta kejutan merangkul Anugerah Puskas FIFA 2017.

Perkara itu dilihat tidak mustahil untuk Syahmi muncul pemain kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah itu.

Malah, jaringan itu turut menjadi tular di media sosial selepas pelayar internet menyifatkan jaringan terbabit cukup berkualiti dan berkelas dunia.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 8:50 PM


No comments:

Post a Comment