MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.myKuala Lumpur: Bagi memastikan skuad Harimau Malaya kembali bersinar dan tidak terus 'berkarat', Januari dilihat tempoh yang sesuai buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe kembali berlatih selepas setahun tidak bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya memahami kerumitan yang dilalui oleh Cheng Hoe yang berusaha untuk menghimpunkan anak buahnya terutama bagi menghadapi kalendar perlawanan antarabangsa pada Mac tahun depan.
Begitupun disebabkan oleh kempen Liga Malaysia (Liga-M) yang perlu dijalankan pada penghujung Februari nanti, beliau menyarankan supaya kem latihan negara dilangsungkan pada minggu pertama Januari ini.
"Kita faham apa yang dilalui oleh skuad negara dan dipihak MFL akan cuba membantu dengan memberi masa yang lebih untuk mereka berlatih.
"Saya fikir bulan Januari adalah masa sesuai untuk mereka berlatih. Ialah dah lama tak main hampir setahun, banyak aksi karat yang nak kena betulkan.
"Sebab itu kita lewatkan sikit liga pada hujung bulan Februari supaya selepas itu (selepas kem latihan negara), pemain dapat berlatih dengan kelab masing-masing sebelum liga mula," katanya kepada Arena Metro.
Menerusi laporan akhbar ini, Cheng Hoe mengakui terpaksa mengharapkan sentuhan enam pemain di luar negara bagi memastikan skuad Harimau Malaya bersedia menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac nanti.
Enam pemain iaitu Safawi Rasid yang beraksi di Portugal, Luqman Hakim Shamsudin di Belgium, Hadi Fayyadh Abd Razak di Jepun serta tiga pemain di Thailand, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan ketika ini masih kekal beraksi dan berlatih berbanding pemain tempatan yang kini bercuti selepas Liga-M berakhir bulan lalu.
"Kita juga ada beri masa seminggu lebih pada pertengahan Mac nanti iaitu sebelum Malaysia menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam kelayakan Piala Dunia.
"Itu yang boleh kita bantu kerana jadual Liga-M juga perlu diteruskan. Tempoh berkenaan cukup buat pasukan negara dan pihak pengurusan skuad negara juga dah tahu mengenai hal ini," katanya.
Walaupun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) belum mengeluarkan tarikh rasmi perlawanan kelayakan Piala Dunia itu, namun berdasarkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kemungkinan aksi berkenaan akan dilangsungkan pada minggu ketiga dan keempat Mac depan.
Skuad Harimau Malaya dijadual menentang UAE di Stadium Al Maktoum, Dubai terlebih dulu sebelum kembali ke tanahair bagi menghadapi Vietnam lima hari kemudian di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dengan Thailand pula bakal menanti pasukan negara di Bangkok, Jun nanti.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:39 PM
No comments:
Post a Comment