Oleh Syafiq Aznan - Disember 29, 2020 @ 3:54pm
syafiq.aznan@bh.com.my
Safawi dianggap buat keputusan tepat tinggalkan Portimonense SC.
KUALA LUMPUR: Lebih baik berada di Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada kekal di Portimonense SC tetapi sekadar duduk di bangku simpanan!
Itu pandangan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dr Zulakbal Abd Karim ketika mengulas mengenai kewajaran penyerang kebangsaan, Safawi Rasid yang 'pulang awal' daripada berkelana di Portugal ketika dia sepatutnya mengharungi tempoh pinjaman selama semusim berakhir Mei depan.
Zulakbal yang juga pemerhati bola sepak melihat ia satu langkah yang tepat untuk Safawi pulang ke tanah air bagi memastikan dia mendapat minit perlawanan yang cukup untuk perkembangan kariernya.
"Memang beraksi di Eropah itu memberikan satu pengalaman dan ilmu yang berbeza, namun jika hanya semata-mata menjalani latihan tanpa beraksi dalam perlawanan kompetitif, perkara ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada perkembangannya.
"Lebih baik dia pulang dan beraksi bersama JDT. Sudah tentu dia akan mendapat begitu banyak minit perlawanan dan beraksi secara kompetitif yang pasti dapat memberi manfaat kepada JDT sendiri dan pasukan kebangsaan.
"Pada usianya ketika ini, dia sedang berada dalam 'tempoh emas' dan dia memerlukan begitu banyak minit perlawanan untuk terus berkembang dan mencapai kemuncak potensi. Dengan membuat keputusan pulang ke JDT, dia mendapat apa yang diperlukan," katanya.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan penyokong bola sepak negara sudah boleh melupakan impian untuk melihat Safawi beraksi bersama Portimonense SC apabila penyerang itu sah sudah meninggalkan kelab di liga utama Portugal berkenaan.
Malah, menurut sumber, Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) dua tahun berturut-turut itu sudah pulang ke tanah air.
"Ya, betul Safawi sudah ada di Malaysia. Dia kini begitu bersemangat untuk memulakan musim baharu bersama JDT dan membantu skuad negara mengharungi kelayakan (Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023)," kata sumber itu.
Spekulasi kepulangan pemain JDT itu ke tanah air turut diperkuat dengan perkongsian terbaru pemain itu di laman Instagramnya yang seakan mengiyakan perkembangan bahawa dia sudah berada di Malaysia.
Menerusi Instastory terbarunya, pemain berusia 23 tahun itu mengambil kesempatan bergambar bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan rakan sepasukan, Azrif Nasrulhaq.
Nada positif tampak ditunjukkan oleh Safawi menerusi wajahnya yang ceria dengan dia turut berkesempatan meletakkan beberapa emoji seperti emoji 'bekerja keras' dan gambar harimau belang.SUMBER-BH ONLINE
No comments:
Post a Comment