Ad

Wednesday 24 July 2019

Baddrol idam gelaran keempat

 BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan
BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Darul Aman semalam menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak Sabtu ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
24 Julai 2019 9:28 PM
KUALA LUMPUR - Selepas membantu Kedah merangkul gelaran Piala FA sebanyak tiga kali sebelum ini, kapten Baddrol Bakhtiar mengintai peluang untuk melakukan buat kali keempat pula apabila Lang Merah turun menentang Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain kebangsaan itu yang meraih trofi Piala FA bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017 menjangkakan saingan sengit bakal ditampilkan Bos Gaurus yang kali terakhir mendakap Piala FA pada 2004.


Pemain tengah skuad Lang Merah itu pada masa sama turut mengakui, aksi kali ini agak istimewa kerana melibatkan dua wakil utara selepas edisi 2007 yang menyaksikan Kedah mengatasi Perlis 4-2 menerusi sepakan penalti pada aksi final di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Persediaan kami berjalan seperti biasa dan saya berharap rakan sepasukan dapat teruskan momentum cemerlang dalam saingan Liga Super ke final Piala FA dan saya harapkan keputusan positif pada kali ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Baddrol mengakui undian mudah yang diterima Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2019 yang bermula awal bulan depan, dapat dijadikan dorongan untuk memburu keputusan positif kali ini.

Baddrol bagaimanapun, mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah keupayaan tiga pasukan lain dalam kumpulan A iaitu Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan yang turut mempunyai peluang sama rata.

“Apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan A, ia sedikit sebanyak memberi satu motivasi kepada saya dan rakan sepasukan, dan kami seharusnya tidak mengambil mudah saingan sengit daripada tiga pasukan ini,” jelas Baddrol.

Pada aksi separuh akhir, Perak menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3. – BERNAMA
SUMBER-UTUSAN ONLINE 24 Julai 2019 9:28 PM

No comments:

Post a Comment