Ad

Sunday, 28 July 2019

MAHARAJA ABU BAKAR DITABAL SEBAGAI SULTAN JOHOR


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 29.07.1886, Maharaja Abu Bakar telah ditabalkan sebagai Sultan Johor. Upacara pertabalan berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dengan cara yang sederhana tetapi penuh istiadat. Sultan Abu Bakar telah dilantik menjadi Temenggong Johor menggantikan ayahandanya Tun Ibrahim pada 1862. Baginda mendapat gelaran Maharaja pada tahun 1868. Sungguhpun baginda telah menaiki takhta Kerajaan Johor pada 1877, setelah kemangkatan Sultan Ali, tetapi upacara pertabalan hanya berlangsung 9 tahun kemudian iaitu pada hari ini dalam tahun 1886. Sebagai seorang Sultan yang memerintah, baginda amat disayangi dan disanjung tinggi oleh rakyat. Ini adalah kerana jasa-jasa dan usaha gigih baginda membangun dan memodenkan negeri Johor dalam segala bidang termasuk sosial, ekonomi dan politik. Dalam bidang sosial baginda memainkan peranan penting dengan usaha menubuhkan perkhidmatan perubatan, pelajaran, pos dan kemudahan awam. Manakala dalam bidang ekonomi pula, sebagai seorang yang berminat dengan perniagaan baginda telah menggalakkan kemasukan buruh-buruh asing menetap di Johor bagi memajukan perusahaan lada hitam dan gambir. Di samping itu baginda juga telah mengusahakan penubuhan pejabat kastam bagi memudah pemasaran hasil-hasil tersebut. Memandangkan kegigihan baginda memaju dan memodenkan Johor, sudah sewajarnya baginda digelar 'Bapa Johor Moden' dan menjadi Sultan yang paling masyhur hingga keluar negara. Ini adalah kerana sikap dan kegemaran baginda menjelajah dan mendampingi orang kenamaan termasuk Queen Victoria dan King George V. Dengan itu tidak hairanlah kemasyhuran baginda kekal hingga ke hari ini walaupun baginda telah mangkat pada 4 Jun 1895.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

No comments:

Post a Comment