OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 24.07.1874, Sultan
Abdullah yang dilantik menjadi Sultan Perak berikutan dengan pengisytiharan
memberi kuasa memungut cukai kepada Residen. Pengisytiharan ini telah
diketepikan buat beberapa waktu kerana keengganan baginda menandatanganinya akibat
daripada perlantikan dan perselisihan yang berlaku dengan J.W.W. Birch iaitu
Residen Inggeris yang pertama di Perak. Kedatangan Birch di Perak sebagai
Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar
Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas. Perselisihan
Sultan Abdullah dengan Birch menjadi rumit apabila Birch tidak bersetuju dengan
tindakan Sultan Abdullah memajakkan kuasa memungut cukai di Muara Sungai Perak
kepada seorang saudagar Cina. Birch berpendapat kuasa memungut cukai itu
hendaklah diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik olehnya.
Dalam bulan Februari dan Mac, Birch telah mendesak Sultan Abdullah supaya
menandatangani pengisytiharan yang membolehkan beliau mengambil alih tugas-tugas
memungut semua cukai. Sultan Abdullah dengan disokong oleh Laksamana dan
Menteri Larut enggan menandatangani pengisytiharan tersebut. Sultan Abdullah
telah bertindak menulis surat dan cuba menghantar wakil menemui Sir Andrew
Clarke untuk meminta supaya Birch ditukarkan ataupun dihadkan kuasanya. Tetapi
tindakan Sultan Abdullah itu telah gagal. Satu lagi perselisihan antara Sultan
Abdullah dan Pembesar-pembesar Perak dengan Birch telah terjadi apabila Residen
bertindak melindungi hamba abdi yang melarikan diri. Orang-orang besar
menganggap perbuatan ini sebagai satu cabaran kepada hak turun temurun mereka.
Sementara itu Birch sekali lagi meminta Sultan Abdullah menandatangani
pengisytiharan berkaitan dengan kuasa memungut cukai tersebut dan Sultan diberi
tempuh sehingga 20hb. Julai, untuk berbuat demikian kalau tidak jawatan baginda
akan diturunkan. Memandangkan kepada ancaman ini, satu mesyuarat telah diadakan
pada 21hb. Julai di Durian Sebatang dengan dihadiri oleh pembesar-pembesar
Perak atau wakil-wakil mereka kecuali Raja Yusof. Hasil mesyuarat ini satu
rancangan telah diatur untuk membunuh Birch yang dianggap telah merosakkan adat
istiadat yang lama. Maharaja Lela sanggup menjalankan pembunuhan tersebut.
Sultan Abdullah pula pada zahirnya akan menunjukkan perhubungannya yang biasa
dengan Residen, dan bersetuju menandatangani pengisytiharan yang memberi kuasa
memungut semua cukai kepada Residen. Dalam pada itu dengan cara sulit, Sultan
Abdullah telah menghantar orang-orang baginda ke Pulau Pinang untuk membeli
senjata bagi pemberontakan yang akan dijalankan. Akhirnya rancangan ini sampai
ke puncaknya apabila Birch dibunuh dalam bulan November 1875 di Pasir Salak.[1]
No comments:
Post a Comment