Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
PENGADIL perlawanan dari Jepun,
Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada
final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. -
Foto BERNAMA
Baddrol puas cipta sejarah
Oleh Mohd Fitrie Muhammad
danZulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Kapten Kedah,
Baddrol Bakhtiar mengakui puas selepas berjaya mencipta sejarah peribadi dengan
menjulang Piala FA buat kali keempat bersama Helang Merah.
Kedah dinobatkan sebagai juara
Piala FA musim ini selepas menundukkan satu lagi pasukan dari utara tanah air,
Perak 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Baddrol yang menjadi perancang
utama Helang Merah tidak pernah berhijrah ke pasukan lain sepanjang kerjayanya
sudah menjulang trofi itu pada 2007, 2008 dan 2017.
"Saya memang tekad untuk
mendapatkan piala ini sebab saya ingin mencipta sejarah sebagai seorang pemain
yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab," kata Baddrol pada
sidang media selepas perlawanan.
Kedah seharusnya perlu berterima
kasih kepada pemain gantian, Fadzrul Danel Mohd Nizam selepas jaringan
tunggalnya pada minit ke-105 memberikan kejuaraan Piala FA buat kali kelima
kepada Helang Merah.
Selain itu, Baddrol menjelaskan
kejayaan di Piala FA menjadi suntikan semangat buat pasukannya untuk fokus
kepada saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan depan.
"Syukur kami dapat bawa
balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia.
Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
28 Julai 2019 | 7:46am
No comments:
Post a Comment