Ad

Friday, 5 July 2019

Mental lemah

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 MENTAL lemah serta alasan remeh seperti rindu masakan tempatan dan kekasih antara punca segelintir pemain bola sepak tempatan gagal untuk kekal beraksi di liga luar negara seperti mana yang kerap menghantui beberapa pemain sebelum ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghantar lima pemain muda dari usia 18 hingga 23 tahun beraksi di Liga Jepun kemungkinan terbantut sekiranya mentaliti pemain negara masih ditakuk lama.

Katanya, pemain tempatan perlu menghargai setiap peluang yang disediakan dengan tidak mengulangi ‘skrip’ sama seperti pemain terdahulu yang membuat pusingan ‘U’ pulang ke tanah air.

“Usaha FAM sangat baik apabila terus berusaha menjalinkan kerjasama dengan negara luar dan penghantaran pemain muda beraksi di liga luar adalah perancangan bagus.

“Tapi persoalannya, mampukah pemain ini kekal main di luar seperti Liga Jepun. Kadang-kadang sebab benda remeh-temeh macam rindu kekasih lah, rindu roti canai lah, nasi lemak dan sebagainya menyebabkan pemain kita tak tahan lama.

“Mental pemain juga cepat ‘koyak’ terutama bila dapat tekanan, dah merajuk nak balik. Jadi kalau perkara ini tak ubah, sia-sia saja usaha FAM itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, peluang beberapa pemain muda berbakat termasuk dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk beraksi di luar negara terbentang luas terutama di Liga Satu (J1) Jepun.

Ia susulan permintaan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) yang mahu FAM mencadangkan pemain terbaik untuk beraksi di negara Matahari Terbit itu selewat-lewatnya pada saingan musim ini.

Safawi dan Akhyar dikatakan berpeluang cerah berguru di Liga J selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan, bagaimanapun ia perlu mendapat kelulusan dan pelepasan JDT bagi merealisasikan impian itu.

“Saya cadangkan sebelum pergi, FAM kena buat kursus atau program kepada pemain terpilih mengenai budaya, bahasa dan pemakanan di Jepun supaya pemain bersiap sedia untuk ke sana,” kata bekas pengendali kebangsaan itu.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:01 AM

No comments:

Post a Comment