Ad

Wednesday 24 July 2019

Tuah jemaah berusia 101 tahun

 SYED Saleh Syed Abd. Rahman (kiri),  Sheikh Hisham Damanhouri
SYED Saleh Syed Abd. Rahman (kiri), Sheikh Hisham Damanhouri (dua dari kiri, belakang), Sheikh Mohamad Amin Andaqiri (tiga dari kiri belakang) bersama jemaah tertua, Abdul Gapak Mahmud dan isterinya, Siti Mainmun Hassan pada majlis memotong kek sempena sambutan harijadi Abdul Gapak di bangunan Abraj Al-Janadriyah, semalam. - UTUSAN ONLINE
Mohd. Ridzwan Iman

22 Julai 2019 4:37 PM

MEKAH 22 Julai - Siapa tidak terkejut. Seorang nelayan dari sebuah kampung di Kudat, Sabah, tiba-tiba diberi layanan seperti tetamu kenamaan sebaik sahaja menjejak kaki ke tanah suci, Mekah Al Mukaramah.

“Kami disambut macam Tun Dr. Mahathir Mohamad pula,” kata Siti Maimun Hassan, 60, isteri kepada jemaah tertua dari Malaysia, Abdul Gapak Mahmud, yang berumur 101 tahun.

Selepas diberi sambutan sebaik tiba di sini kelmarin dan kemudiannya diiringi petugas Tabung Haji dan Muassasah Asia Tenggara ke Masjidilharam untuk menyelesaikan umrah, satu lagi sambutan diberikan kepada pasangan jemaah itu.


Semalam, pihak Muassasah telah mengadakan majlis khas memotong kek sempena sambutan harijadi untuk Abdul Gapak yang dilahirkan pada 3 Julai 1918.

Ketua Muassasah Asia Tenggara, Sheikh Mohamad Amin Hassan Andaqiri berkata, sambutan diberikan kepada Abdul Gapak kerana mereka begitu berbangga berpeluang melayan jemaah berusia melebihi 100 tahun.

Katanya, kerajaan dan rakyat Arab Saudi sememangnya sangat menghargai warga tua dan berharap mereka berada dalam keadaan sihat sehingga selesai menunaikan ibadat haji.

“Dia seperti bapa kepada kita semua, setakat ini Abdul Gapak merupakan jemaah tertua dalam kalangan jemaah haji Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis itu yang diadakan di Maktab 79, Abraj Al-Janadriyah di sini.

Turut hadir Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman dan Ketua Maktab 79, Sheikh Hisham Damanhouri.

Syed Saleh berkata, sejak tiba, pemeriksaan doktor mendapati keadaan kesihatan Abdul Gapak dalam keadaan baik.

Abdul Gapak yang pertama kali menunaikan haji melahirkan rasa syukur dengan sambutan dan layanan yang diberikan oleh pihak Muassasah dan Tabung Haji.

“Mana ada orang tua datang buat haji disambut begini,” katanya sambil berseloroh.

Dia juga berkata, mungkin tuah isteri keduanya menguatkan semangat dan kesihatannya untuk menunaikan haji di usia tua, selepas kematian isteri pertama.

Ditanya rahsia kekal sihat, Abdul Gapak berkata, tiada apa-apa rahsia diamalkannya tetapi hanya makan nasi dengan ikan, ayam dan daging yang tidak digoreng serta tidak menggemari sayur.SUMBER - UTUSAN ONLINE 22 Julai 2019 4:37 PM

No comments:

Post a Comment