ARKIB : 14/09/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
TIDAK seperti sesetengah umat
Islam yang telah lama memeluk Islam atau dilahirkan sebagai Islam sejak lahir,
tetapi iman mereka tetap senipis kulit bawang.
Amat berbeza apabila kita
memperkatakan iman Bilal bin Rabah yang langsung tidak goyah malah sangat
kental ketika teruk diseksa oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf. Pada hal beliau
baru sahaja memeluk Islam ketika itu.
Bayangkan selama dua hari
berturut-turut Bilal diseksa dengan dipakaikan baju besi dan dijemur di
tengah-tengah kepanasan padang pasir dan batu besar yang dihempap ke atas
dadanya menambahkan lagi penyeksaan.
Sebelum itu, lehernya diikat tali
untuk diheret dan dibaling batu oleh kalangan Musyrik Mekah ketika dibawa
Umaiyyah untuk diseksa di padang pasir.
Anda hayatilah kisah hidup Bilal
menerusi sebuah buku Novel Sejarah Islam terbitan PTS (2009) karya Abdul Latip
Talib; Bilal bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit.
Walaupun buku ini tidak lebih
sebuah karya berbentuk novel atau penceritaan dengan gaya bahasa yang bebas
namun semua itu bertujuan untuk menajamkan lagi pengetahuan dan mempertahankan
fakta-fakta sejarah yang ada.
Pada buku ini diberikan gambaran
yang jelas dan mendalam mengenai kehidupan sebagai hamba sahaya yang dilalui
oleh Bilal dan keluarganya.
Ibu bapanya, Rabah dan Hamamah
sebenarnya bukanlah berasal dari golongan hamba, tetapi mereka cuba berhijrah
dari Habsyah untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Mekah. Tetapi dalam
perjalanan mereka telah diserang dan menjadi tawanan yang kemudiannya dijual
sebagai hamba di Pasar Ukaz.
Mereka kemudiannya dibeli oleh
keluarga Bani Abu Dar yang sangat terkenal dengan kekayaan dan kehidupan yang
mewah.
Pasangan suami isteri ini
kemudiannya dibeli oleh keluarga Bani Abdul Dar dan tinggal di daerah As-Sarah
yang terletak di pinggir Kota Mekah. Namun malangnya tuan yang membeli mereka
bersifat kejam dan langsung tidak berperi kemanusiaan terhadap Rabah dan
Hamamah. Namun selama dengan keluarga itu, lahirnya anak sulung mereka, Sahib
dan Bilal sendiri iaitu 43 tahun sebelum Hijrah.
Menjadi hamba sahaya bererti
mereka bukan manusia. Ini apabila Sahib kemudiannya diambil, dipisahkan dan
dibawa ke Yaman untuk dijual seperti barang di sana.
Ibu bapa mana yang bagai disambar
halilintar, terkejut apabila anak kesayangan mereka hendak diambil begitu
sahaja. Hanya kerana si anak dijangka dapat dijual dengan harga yang mahal maka
tidak ada hak untuk ibu bapanya menahan perbuatan si majikan.
Umaiyyah bin Khalaf adalah
dalangnya, yang hendak membantu Abu Dar menjual Sahib bagi membolehkan mereka
berkongsi keuntungan dengan menjual seorang manusia!
"Kamu milik keluarga Abdul
Dar. Tuan kamu bersetuju jika aku mengambil salah seorang anak kamu bagi dijual
di Yaman. Kamu tidak ada hak membantah!," tengking Umaiyah bin khalaf
apabila Rabah dan Hamamah merayu dan cuba menahan dari anak mereka dibawa pergi.
Bayangkan kesedihan yang
ditanggung lebih-lebih lagi si ibu apabila berlaku perpisahan yang kejam
seperti ini. Hati ibu mana yang tidak hancur luluh apabila anak bagai disambar
seekor helang, yang tidak mungkin akan ditemui lagi.
Sehinggalah si ibu mendengar
sendiri, anak kesayangannya berjaya dijual dengan harga yang mahal yang
menyebabkan pinggan di tangan jatuh terhempas di lantai akibat terlalu
terkejut.
Akibatnya Hamamah dibelasah dan
diseksa oleh tuannya, Abdul Dar kerana beliau didapati menyebabkan sebiji
pinggan yang mahal, jatuh dan pecah berderai! Dadanya ditumbuk sehingga wanita
malang itu jatuh ke lantai. Tidak cukup itu, Hamamah ditendang semahu-mahunya
sehinggalah Umaiyyah datang meminta Abu Dar berhenti menyeksa Hamamah.
"Jika kamu terus memukulnya,
dia akan mati. Kita juga yang rugi kerana tidak dapat menjualnya," kata
Umaiyah.
Si ibu yang malang itu akhirnya
jatuh sakit, sakit menanggung rindu terhadap anak yang diragut pergi dan sakit
akibat diseksa. Semua ini memberikan tekanan sehingga tidak ada mental dan
fizikal yang dapat bertahan. Si ibu akhirnya pergi buat selama-lamanya. Membawa
bersama kerinduan terhadap si anak dan penderitaan akibat tidak mempunyai
hak-hak kemanusiaan terhadap diri sendiri.
Akhirnya Rabah sendiri mengikut jejak
isteri tercinta, jatuh sakit akibat terlalu diperhambakan dan akhirnya
meninggal dunia yang menyebabkan kini tinggallah si Bilal seorang diri sebatang
kara di dunia ini.
Begitulah sejarah awal kehidupan
Bilal yang penuh dengan kepedihan, menjadi mangsa zaman atau era kejahilan yang
teruk apabila manusia dinilaikan harganya sama ada murah atau mahal untuk
dijual! Tidak ubahnya seperti hendak menjual haiwan ternakan, unta, lembu,
kambing dan sebagainya!
Namun menarik mengenai Bilal ini
sedari kecil beliau sememangnya tidak pernah menyembah berhala. Kala hayat ayah
dan ibunya masih ada, mereka pergi ke Kaabah lalu menyembah tuhan-tuhan yang
ada di situ sambil menangis, mengadu supaya anak mereka, Sahib dipulangkan
semula ke pangkuan keluarga.
Namun Bilal hanya memerhatikan
sahaja perbuatan ibu bapanya itu.
"Mak, ayah bolehkah patung
berhala itu mengembalikan abang Sahib kepada kita?," tanya Bilal semasa
dalam perjalanan pulang dari Kaabah itu.
Rabah dan Hamamah serba salah
hendak menjawab pertanyaan anaknya itu. Tetapi akhirnya berkata: "Itu
tuhan kita sejak turun temurun. Jika tidak mereka kepada siapa lagi kita hendak
mengadu?"
Namun Bilal tidak pernah
meneruskan tradisi penyembahan itu kerana percaya berhala itu hanya sekadar
patung yang tidak bergerak dan bisu.
Ini kerana baginya jika benar
berhala-berhala itu berkuasa, tentunya beliau dan keluarga telah lama bebas
dari belenggu rantai perhambaan seperti selalu diminta oleh ibu bapanya sebelum
ini.
Tetapi tahukah anda, Bilal pernah
memasuki pertandingan gusti iaitu satu pertandingan yang sebelum ini tidak
pernah terbuka kepada golongan hamba sahaya.
Semua ini semata-mata rancangan
jahat tuannya, Umaiyyah bin Khalaf dan lain-lain pembesar Quraisy yang
membincangkan mengenai satu komplot. Mereka setuju kemudiannya supaya Bilal
menjadi seorang 'kaki gaduh' atau lebih tepat 'pembunuh terlatih' untuk
membunuh seseorang yang sangat mulia di muka bumi ini, Nabi Muhammad SAW!
Setelah memasuki beberapa pusingan
perlawanan, iaitu dengan mengalahkan para peserta yang terdiri dari golongan
hamba juga, akhirnya Bilal memenangi kejuaraan setelah berjaya menumbangkan
lawan yang dikatakan lebih berusia darinya.
Bilal kemudiannya diberikan
sebilah pisau yang tajam yang dilumurkan racun yang paling berbisa dan
disembunyikan dalam jubah yang dipakai oleh hambanya itu.
Bilal kemudiannya 'meminta'
bantuan daripada sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq untuk membawanya
berjumpa dengan Rasulullah bagi menjayakan misi 'membunuh' Nabi Muhammad
seperti yang diperintahkan oleh tuannya.
Tetapi tahukah anda mengapa Bilal
yang dipikulkan dengan tugas yang berat ini? Mengapa tidak pemuda-pemuda lain
yang lebih 'terlatih' dan tangkas untuk menamatkan riwayat baginda.
"Saya mencadangkan kita
adakan perlawanan gusti di kalangan hamba-hamba kita. Siapa yang muncul sebagai
juara kita boleh gunakan bagi membunuh Muhammad. Jika Bani Hashim hendak
menuntut bela, kita boleh serahkan hamba itu kepada mereka bagi dibunuh. Kita
tidak rugi apa-apa!," kata Abu Jahal dalam komplot hendak membunuh Nabi
itu.
Adakah Bilal tega atau sanggup
membunuh Nabi Muhammad sedangkan beliau sendiri tidak sabar-sabar untuk
mengenali baginda setelah mendengar pelbagai cerita sebagaimana diceritakan
oleh penduduk Mekah di sana sini mengenai Nabi Muhammad.
"Benarkah Nabi Muhammad ini
penyelamat yang selama ini yang ditunggu-tunggu oleh kaum yang tertindas.
Benarkah agama yang dibawanya akan memberikan seribu rahmat terhadap semua
manusia.
"Benarkah Islam itu agama
yang akan memberi keadilan kepada semua pihak, bagaimana dengan aku yang
dilahirkan sebagai hamba ini? Bolehkah agama itu membebaskan aku dan menjadikan
manusia yang merdeka?" kata Bilal.
Pelbagai pertanyaan mengenai Nabi
Muhammad dan Islam bermain di kotak fikiran Bilal.
Namun fikirannya juga terganggu
mengenangkan tawaran dari tuannya yang kononnya akan memerdekakan Bilal jika
hambanya itu berjaya membunuh Nabi Muhammad.
"Untuk bebas dan menjadi
manusia yang bebas dan merdeka ini sememangnya menjadi impian setiap hamba
sahaya seperti ku ini.
"Jadi tawaran dari Umaiyyah
ini tidak kurang menariknya juga. Semudah aku membunuh Muhammad dan aku akan
merdeka" katanya.
Anda tahu Nabi Muhammad sentiasa
terpelihara keselamatan baginda dari menerima sebarang ancaman maut. Tidak ada
catatan sejarah yang merakam baginda berjaya dibunuh oleh Bilal.
Jadi apakah sebenarnya berlaku,
ini kerana jika Bilal tidak berjaya membunuh baginda, tetap ada hukuman yang
menanti, nyawanya akan menjadi galang ganti, beliau pula yang akan mati!
Mahu tidak mahu, demi nyawa
sendiri Bilal mesti menjayakan misi ini. Ikuti selanjutnya keluaran akan
datang!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YLjN3Dwp
© Utusan Melayu (M) Bhd