Ad

Thursday, 29 November 2018

Dah ada bayangan 11 pemain jumpa Thai...'


MyMetroArena
Saiful Affendy Sapran dan Zulfaizan Mansor
sukanteam@nstp.com.my
 
NILAI: Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah memiliki bayangan kesebelasan utama bagi mengharungi aksi separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan mengekalkan kesebelasan utama ketika Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan bergaya 3-0 ke atas Myanmar di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Cheng Hoe yang menurunkan penjaga gol, Farizal Marlias buat kali pertama sepanjang kejohanan selain meletakkan Safawi Rasid di posisi sayap kiri berjaya meraih kemenangan penting sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Justeru, tidak mustahil Cheng Hoe meletakkan kepercayaan buat barisan kesebelasan yang sama untuk menjinakkan Thailand di laman sendiri.

Bekas pengendali Kedah itu bagaimanapun menjelaskan beliau masih mempunyai tempoh dua hari lagi untuk menilai prestasi semua pemain.

"Kemungkinan besar kita akan kekalkan kesebelasan utama ketika lawan Myanmar. Tapi kita masih ada dua hari lagi latihan dan saya akan buat penilaian terbaik.

"Cuma apa yang penting saya percaya semua pemain bersedia untuk diturunkan bila-bila masa," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Skuad negara perlu meraih kemenangan di Bukit Jalil nanti sebagai bekalan sebelum perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember ini.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui  80,000 tiket separuh akhir pertama yang habis dijual hari ini memberi petanda positif betapa pemainnya sekali lagi bakal mendapat semangat tambahan daripada sokongan padu penyokong Harimau Malaya.

"Saya rasa motivasi pemain cukup tinggi bermula lawan Myanmar. Saya sebagai rakyat Malaysia cukup bangga dengan suasana dan sambutan yang diberikan peminat terhadap pasukan kebangsaan.

"Malah, sokongan peminat penting buat kami dalam menaikkan motivasi pemain. Rata-rata pemain juga masih muda dan masa depan mereka masih panjang," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:14 PM

No comments:

Post a Comment