ARKIB : 15/06/2009
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN
SOFA NEGERI SEMBILAN
SYUKUR kepada Allah kerana dengan
limpahan anugerah dan kasih sayang-Nya, kita dapat menikmati nikmat Islam,
mengecapi manisnya iman dan menghayati indahnya ihsan. Syukur kepada Allah
kerana mengutuskan kepada kita seorang Rasul pembawa risalah kerahmatan
sehingga kita dapat mengecapi nikmat-nikmat ini hingga ke hari ini.
Tetapi kemanisan dan keistimewaan
nikmat dan limpahan ini tidak akan dapat benar-benar kita rasai tanpa
menghayati Islam melalui pintu dan manhaj 'Hubb' atau cinta dan kasih-sayang.
Jika dalam kesempatan yang lepas
kita mengimbau keagungan cinta Allah yang menjadi asal segala cinta, marilah
pula kita membicarakan tentang cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal
dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini.
Alangkah bertuahnya umat ini
kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan
sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan
ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang
ayah kepada anaknya, seperti sabdanya, "Sesungguhnya diriku bagi kalian
bagaikan seorang ayah bagi anaknya." (riwayat al-Darimi).
Jika para bapa yang lain lebih
banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya,
Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah
kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur
jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.
Hidup dan matinya sentiasa tamak
menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk
anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh
umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar
mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.
Allah SWT menjelaskan kecintaan
dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam suray al-Taubah ayat 128.
Malah Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku
seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu
mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu,
sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan
Muslim).
Apa sahaja yang dilakukan dan
difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda
seorang pun umatnya terjerumus ke neraka. Diriwayatkan oleh Muslim dalam
sahihnya daripada Abdullah ibnu 'Amru ibnu al 'As berkata: Pada suatu ketika,
Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as: Wahai Tuhanku!
Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh
itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia
adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi
agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
(kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)
Kemudian Baginda SAW membaca pula
perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Nabi mengangkat
kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu
Allah berfirman kepada Jibril as, "Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada
Muhammad - sememangnya Allah lebih Mengetahui - tanyalah kepadanya apa yang
menyebabkan dia menangis." Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya
kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab
tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, "Pergilah kamu menemui
Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya:
"Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami
tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.
Menurut Imam Nawawi, hadis ini
menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan
Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang
kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah
terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian
kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda
dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih
Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)
Rasullulah utamakan umatnya
Sifat kasih yang mendalam
menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya
menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh
Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda: Aku lebih utama bagi orang-orang yang
beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang
meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab
melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta,
maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai
dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam
surah al-Ahzab ayat 6.
Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah
lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka
kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan
kesejahteraan.
Nabi SAW juga mengambil berat
tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh
al-Bazzar daripada Aisyah berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam
keadaan baik, saya berkata, "Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya."
Rasulullah SAW pun mendoakan, "Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang
terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang."
Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana
terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Adakah doa saya
menggembirakan kamu?" Aisyah menjawab, "Kenapa tidak, saya begitu
gembira dengan doamu itu?" Rasulullah SAW bersabda, "Demi Allah!
Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat."
Rasulullah SAW juga menyimpan doa
mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling
penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi
SAW bersabda: Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi
bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong
untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)
Rasulullah adalah duta Allah SWT
bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah
tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala
perbuatan dan perkataan Baginda.
Rasulullah SAW menghulurkan kasih
sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta benda-benda
tidak bernyawa mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh
bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.
Diriwayatkan daripada Aisyah ra
bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: "Kecelakaan
ke atas kamu." Rasululah SAW bersabda: "Dan ke atasmu juga."
Lalu Aisyah mencelah: "Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga,
laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian." Rasulullah bersabda:
"Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah
kamu berkasar."Aisyah berkata: "Apakah kamu tidak mendengar apa yang
mereka ucapkan?" Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kamu tidak
mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku
itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan." Jelas dalam situasi
sebegitupun cinta yang mendalam dalam diri Rasulullah menghalangnya daripada
berlebihan dalam membalas kejahatan.
Maka tepatlah Allah telah
menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat
pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda
dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra'uf (Orang yang bersifat belas)
dan Rahim (Orang Yang Penyayang).
Di dunia, Nabi SAW sentiasa
berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda:
"Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka
supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat." Manakala di
akhirat, Rasulullah SAW bersabda: "Umatku! Umatku! Ketika itu, manusia
sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan
nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.
Justeru, wajiblah bagi kita
menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang
Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan
menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia.
Rasulullah menghulur cinta bukan
untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia
hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera,
menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik
mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak
berbelah bahagi.
Para sahabat adalah orang yang
paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang
paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan
perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu,
lemah dan malas.
Cinta Rasulullah SAW juga unggul
kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah
bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu
hari Baginda bersabda yang maksudnya, "Bertuahlah sesiapa yang melihatku
dan beriman padaku." Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang
datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam
sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar
Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, "Bertuahlah, dan
bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman
padaku."
Begitulah sekelumit paparan
keunggulan cinta Rasulullah kepada umatnya yang sebenarnya telah melemahkan
segala kalam dan lisan. Insya-Allah, minggu hadapan ruangan ini akan mengimbau
bagaimana selayaknya kita membalas cinta Baginda.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz5XwfDzrKt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment