ARKIB : 30/06/2009
ADA seorang wanita bernama
Halimatun Armiah yang bekerja sebagai tukang masak di istana Raja Yarmuz. Dia
disayangi oleh Raja Yarmuz kerana kepakarannya di bidang masakan. Halimatun
menghabiskan separuh dari usianya bekerja sebagai tukang masak Yarmuz.
Raja Yarmuz seorang pemerintah
yang membenci agama Islam kerana dia mahu seluruh rakyatnya menyembahnya
sebagai tuhan. Dia tidak mahu ada kuasa yang lebih berkuasa daripadanya.
"Beta akan menghukum sesiapa
sahaja rakyat beta yang menganut agama Islam. Ingat hanya beta sahaja yang
patut disembah sebagai tuhan. Sesiapa yang ingkar pada perintah beta akan
dihukum mati," titah Raja Yarmuz kepada rakyat negara Yarmuz.
"Saya pernah melihat ada
lelaki dimasukkan dalam kandang binatang buas kerana ingkar perintah Raja
Yarmuz," kata seorang lelaki kepada kawannya yang turut mendengar titah
Raja Yarmuz itu.
Halimatun yang pada ketika itu
belum menganut apa-apa agama berasa takut dengan amaran Raja Yarmuz itu dan
berjanji untuk tidak mengingkari raja yang zalim dan kejam itu.
Namun pada suatu hari, Halimatun
mendapat petunjuk daripada Allah dan akhirnya memeluk Islam. Pada awalnya, ahli
keluarganya takut mendengar Halimatun memeluk agama Islam.
Penjelasan dan keindahan agama
Islam yang diperkatakan oleh Halimatun kepada keluarganya mencairkan tembok
kejahilan yang ada pada diri keluarganya itu. Mereka akhirnya memeluk Islam dan
menjalankan kewajipan sebagai orang Islam.
Kini sudah beberapa bulan berlalu
sejak Halimatun dan ahli keluarganya memeluk Islam. Dia terus menjalankan tugas
sebagai tukang masak istana seperti biasa tanpa mendedahkan rahsianya yang
sudah memeluk Islam itu. Jauh di sudut hatinya, dia juga mahu melihat
kawan-kawannya memeluk Islam.
"Pastikan semua orang
menjalankan tugas mereka dengan baik dan teliti. Tempat memasak, bekas
peralatan makanan dan hidangan makanan harus berada dalam keadaan bersih.
"Raja Yarmuz tidak suka
kepada mereka yang malas dan benda-benda yang kotor," arah ketua tukang
masak kepada semua tukang masak yang kelam kabut dan riuh rendah mendengar
berita mengenai lawatan mengejut Raja Yarmuz ke dapur istana.
Walaupun semua rakan Halimatun
berdebar-debar menerima lawatan Raja Yarmuz tetapi Halimatun tenang sahaja
menunggu ketibaan Raja Yarmuz itu.
Tidak lama kemudian, Raja Yarmuz
tiba ke dapur istana dan gembira melihat pekerja-pekerja dapur istana melakukan
kerja mereka dengan baik dan tekun.
"Halimatun tolong bawa bekas
makanan ini untuk dihidang di meja besar bagi santapan Raja Yarmuz!,"
perintah Ketua Tukang Masak.
Halimatun pun terus membawa
sebuah bekas makanan menuju ke meja santapan Rajanya itu. Namun tiba-tiba
wanita ini terlanggar sesuatu menyebabkan bekas makanan yang dipegangnya
terlepas dari tangan Halimatun dan terjatuh ke lantai.
"Allah!" Halimatun
menyebut nama Allah tanpa beliau sedari terlepas daripada mulutnya.
"Apa?" kata Raja Yarmuz
dalam nada suara yang tinggi dan keras apabila mendengar Halimatun menyebut
kalimah Allah itu.
Tenang
"Kamu menyebut nama Tuhan
orang Islam. Maka adakah ini bermakna kamu juga sudah memeluk agama
Islam," tanya Raja Yarmuz kepada Halimatun.
Halimatun serba salah untuk
menjawab dan Raja Yarmuz yang dapat melihat keadaan Halimatun yang mencurigakan
itu.
Apabila didesak beberapa kali,
Halimatun akhirnya mengaku sudah memeluk Islam.
"Patik sekarang menyembah
Allah. Tuhan semesta alam," ucap Halimatun dengan yakin.
"Beta mahu kamu meninggalkan
agama Islam dan mengaku beta sebenarnya tuhan kamu.
"Sekiranya kamu ingkar
perintah beta, kamu akan dijatuhi hukuman berat," ugut Raja Yarmuz yang
begitu murka mendengar pengakuan Halimatun itu.
"Patik sama sekali tidak
akan tunduk pada perintah tuanku. Patik sanggup menerima hukuman tuanku!,"
kata Halimatun yang enggan menurut perintah Raja Yarmuz walaupun tahu hukuman
berat menantinya.
"Pengawal! Kamu tangkap
wanita ini dan humbankan dia ke dalam kandang singa. Biar dia menjadi makanan
singa-singa yang kelaparan itu," perintah Raja Yarmuz itu tentu sahaja
turut mengejutkan kawan-kawan Halimatun yang lain.
Halimatun hanya kelihatan tenang
sahaja apabila pengawal istana menangkapnya. Perintah Raja Yarmuz dilaksanakan
dengan segera. Halimatun dimasukkan terlebih dahulu ke dalam kandang singa
sebelum singa-singa peliharaan Raja Yarmuz dilepaskan ke dalam kandang.
Singa-singa yang masuk ke dalam
kandang itu kelihatan begitu garang dan tidak menunggu kecuali mahu menerkam
dan menyiat-nyiat Halimatun yang hanya mampu berdiri di sudut kandang.
Halimatun sebenarnya ketakutan
namun beliau teringat kepada Allah Yang Maha Mengasihani makhluk-makhlukNYA
yang dizalimi.
"Ya Allah! Sekiranya Engkau
Maha Berkuasa berikanlah perlindungan mu ke atas diriku ini," doa
Halimatun dengan penuh takwa.
Singa-singa itu tentu sahaja
dapat menghidu bau manusia lalu tanpa menunggu barang sesaat haiwan ganas itu
hendak mematahkan tengkuk Halimatun yang masih menggeletar ketakutan namun
mulutnya tidak henti-henti menyebut nama Allah.
Ditakdirkan, haiwan yang asalnya
begitu garang, rakus dan begitu ganas secara tiba-tiba tunduk terhadap
Halimatun. Haiwan itu seolah-olah memberi penghormatan kepada wanita ini dengan
izin Allah. Halimatun terus menadahkan tangan tanda bersyukur kepada Allah
kerana melindunginya dari menjadi mangsa haiwan liar itu.
Kejadian itu cukup menghairankan
Raja Yarmuz.
"Mengapa singa-singa beta
tidak membaham dan mengoyak tubuh wanita tua itu? Apa yang sudah berlaku? Lebih
menghairankan mengapa singa-singa itu kemudiannya tunduk dan hormat pada
Halimatun?," kata Raja Yarmuz.
"Mungkin dia mendapat
pertolongan dari Tuhannya," sambung Raja Yarmuz kepada pembesarnya.
"Mungkin juga Tuanku!,"
mereka yang lain setuju dengan pendapat Raja Yarmuz itu.
"Halimatun harus dikeluarkan
dari negara ini. Sekiranya orang ramai tahu tentang kehebatan Halimatun
menundukkan singa-singa beta, mungkin ramai akan memeluk Islam," kata Raja
Yarmuz.
"Ini merupakan ancaman
kepada tuanku!," sahut salah seorang pembesar kepada Raja Yarmuz yang
masih bingung memikirkan mengenai Halimatun.
Akhirnya Halimatun dihalau keluar
dari negeri itu tanpa belas kasihan oleh Raja Yarmuz.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XxF2Yx00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment