ARKIB : 01/09/2009
AISHAH binti Abu Bakar dilahirkan
pada Tahun 614 Masihi di kota Mekah. Ayahnya adalah Abu Bakar As-Siddiq dan
ibunya adalah Ummu Ruman binti Amir.
Antara adik-beradiknya, yang
terkenal adalah Asma binti Abu Bakar dan Muhammad bin Abu Bakar. Abu Bakar
as-Siddiq merupakan lelaki pertama yang memeluk agama Islam dan merupakan orang
kanan nabi Muhammad. Aishah telah bernikah dengan nabi sebagai isteri ketiganya
selepas Khadijah binti Khuwalid dan Saudah binti Zamah.
Aishah adalah seorang tokoh
wanita yang tersohor pada zamannya. Beliau sangat bijaksana, cerdik dan fasih
dalam pengucapannya.
Aishah menjadi rujukan dalam
bidang ilmu teologi dan hukum agama kerana beliau berpeluang mempelajari banyak
ilmu melalui nabi sewaktu menjadi isterinya.
Aishah mendapat gelaran
'as-Siddiqah' kerana Allah telah menguji kejujuran, kepercayaan dan kesucian
beliau dalam satu peristiwa. Beliau juga mendapat gelaran Humaira yang
bermaksud mawar merah kerana paras rupanya yang cantik dan menawan.
Aishah menyaksikan pelbagai
peristiwa penting yang membentuk pelbagai aspek masyarakat Islam pertama di
kota Madinah. Antaranya adalah perubahan arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa di
Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Beliau juga terlibat dan menyaksikan
peperangan Badar, Uhud dan Khandak di antara pihak Islam dan pihak bukan Islam
Quraisy.
Aishah membantu pihak Islam
dengan membawa minuman dan merawat luka tentera Islam yang cedera. Keberanian
dan kecekalan Aishah di medan peperangan harus menjadi panduan kepada generasi
remaja pada hari ini untuk menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar.
Setiap kali nabi memulakan
sesuatu ekspedisi peperangan, beliau akan membawa salah seorang isterinya untuk
menemaninya dengan menggunakan undian.
Aishah terpilih untuk menemani
nabi dalam ekspedisi peperangan terhadap Bani Mustaliq. Sewaktu pulang ke kota
Madinah, rombongan nabi telah singgah di satu perhentian untuk berehat seketika
pada waktu malam.
Aishah keluar dari kawasan khemah
untuk membuang air. Ketika pulang semula ke kawasan khemah selepas membuang
air, beliau mendapati rantainya hilang.
Aishah berjalan semula ke tempat
beliau membuang air untuk mencari rantainya. Setelah mencari untuk jangka masa
panjang, rantai itu berjaya ditemuinya.
Apabila pulang semula ke kawasan
khemah, rombongan nabi sudah beredar tanpa mengetahui Aishah tiada dalam
rombongan mereka. Aishah tidak panik atau berasa takut kerana tahu rombongan
itu akan kembali jika menyedari dirinya tiada dalam rombongan mereka. Beliau
menyelimutkan dirinya lalu baring sambil menunggu rombongan nabi berpatah
balik. Namun tiada siapa yang datang sehingga Aishah tertidur dengan nyenyak.
"Kasihan! Isteri nabi
ditinggalkan seorang diri di sini." jerit Safwan bin Muatal yang lalu di
kawasan Aishah sedang baring pada keesokan hari.
Aishah yang terkejut dengan
jeritan itu bangkit dan menutup mukanya dengan selimut. Safwan membawa untanya
lalu mendudukkannya sebelum beredar jauh dari Aishah.
Safwan menarik unta yang
ditunggang oleh Aishah dengan pantas menuju ke Kota Madinah. Kepantasan Safwan
menarik unta itu menyebabkan Aishah tiba di kota Madinah tidak berapa lama
selepas ketibaan rombongan nabi.
Abdullah bin Ubay, Mistah bin
Athathah, Hassan dan Hamnah, sepupu Zainab binti Jahsy berpakat memfitnah
Aishah bahawa beliau berlaku curang dengan Safwan. Khabar fitnah ini bertiup
kencang di Kota Madinah sehingga tiba di cuping telinga nabi.
Nabi menjadi bingung mendengar
berita ini dan mula bersikap dingin terhadap Aishah. Beliau mula merasakan
perubahan pada diri nabi terhadapnya sehingga beliau meminta izin nabi untuk
pulang ke rumah ibu bapanya buat sementara waktu.
Apabila Aishah pulang ke
rumahnya, ibu sepupunya memberitahu khabar fitnah itu kepada beliau. Aishah
terkejut dan menangis tersedu-sedu sehingga terasa jantungnya berdegup dengan
begitu kencang.
Beliau berlari ke rumah untuk mengadu
pada ibunya tentang fitnah yang dilemparkan pada dirinya. Ibunya menasihatkan
agar tidak sedih dengan khabar fitnah itu kerana wanita cantik yang dicintai
suaminya dan menjadi madu sentiasa menjadi buah mulut orang.
Nabi yang gelisah menemui Ali dan
Usamah bin Zaid untuk bertanya pendapat mereka. Usamah tidak percaya langsung
pada fitnah yang dilemparkan pada Aishah. Ali mencadangkan agar bertanya pada
pembantu Aishah tentang perkara itu.
Pembantu Aishah menyatakan
tuannya adalah seorang wanita yang baik. Akhirnya nabi mengambil keputusan
untuk berjumpa isterinya untuk menjelaskan perkara sebenarnya kepadanya.
"Aishah, kamu sudah
mengetahui tentang apa yang dikatakan oleh orang ramai. Takutlah kamu pada
Allah jika kamu telah melakukan sesuatu kejahatan seperti yang dikatakan oleh
orang ramai. Bertaubatlah kepada Allah kerana Allah menerima segala taubat
hambanya."
Aishah menjadi marah dan menoleh
ke arah ayah dan ibunya. Namun tiada jawapan yang keluar dari mulut mereka.
Beliau mula menangis dan berkata, " Kamu semua telah mendengar
segala-segala-galanya tentang diri saya dan mempercayainya.
"Saya tahu jika saya
memperakui apa yang dikatakan oleh orang ramai walhal Allah mengetahui saya
tidak bersalah, bermakna saya memperakui sesuatu yang tidak benar.
"Namun sekiranya saya
membantah apa yang mereka katakan, kamu semua tak akan percaya.
"Saya hanya boleh katakan
apa yang dikatakan oleh ayah nabi Yusuf, maka sabar itulah yang baik dan hanya
Allah tempat meminta pertolongan atas segala yang kamu lakukan."
Keadaan menjadi sunyi sepi.
Apakah yang akan berlaku? Tiba-tiba wahyu turun ketika nabi hendak meninggalkan
rumah Abu Bakar. Wajah nabi penuh dengan peluh walaupun pada ketika itu cuaca
begitu sejuk.
Semua yang hadir di rumah itu
senyap dan menarik nafas panjang. Setelah wahyu habis turun, wajah nabi
kelihatan gembira.
"Allah telah menurunkan
wahyu membuktikan kesucian kamu!" kata nabi yang kemudian membacakan 10
ayat dari surah al-Nur 11 ayat 26.
Turunnya ayat ini menunjukkan
Aishah dan Safwan bersih daripada semua tuduhan yang dilontarkan kepada mereka.
Nabi merupakan orang yang paling baik dan sudah pasti wanita yang paling baik
pula yang menjadi isterinya.
Aishah meninggal dunia pada zaman
khalifah Muawiyah ketika berusia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Jannat
al-Baqi seperti wasiatnya. Jenazah beliau dimakamkan oleh Abu Hurairah yang
menjadi Gabenor Mekah pada masa itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YL87mDpt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment