ARKIB : 13/06/2009
KUALA LUMPUR - Skuad Bawah 23
Malaysia menamakan penjaring terbanyak Harimau Muda, Ahmad Shakir Md. Ali
sebagai penyerang terbarunya bagi menghadapi skuad sebaya Indonesia dalam
perlawanan bola sepak persahabatan, hari ini.
Dia dipanggil daripada skuad Bawah
19 negara bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha yang terpaksa direhatkan
kerana kecederaan di samping Baddrol Bakhtiar, Syed Adney Syed Hussein dan
Kamarul Afiq Kamaruddin.
Kemasukannya akan menambah sengat
bahagian depan Bawah 23 yang bakal mempertaruhkan gandingan Zaquan Adha
Radzak-Khyril Muhymeen Zambri tetapi jurulatih negara. K. Rajagobal tidak
berhasrat menambah tiga lagi muka baru untuk menggantikan mereka yang
tercedera.
Ahmad Shakir yang kini penjaring
ketiga terbanyak Liga Perdana dengan sembilan gol, baru sahaja menimba serba
sedikit tunjuk ajar pengurus Arsenal, Arsene Wenger sempena Sesi Kejurulatihan
Castrol Asia di Dataran Merdeka, Selasa lalu.
Skuad Bawah 23 Malaysia diketuai
abang kembar Zaquan, Aidil Zafuan Radzak yang sudah menyarung jersi skuad
senior negara sejak Piala Asia 2007 ini, akan menentang Indonesia di Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur, pukul 5.30 petang ini.
Sebelum itu, Malaysia mengadakan
siri persahabatan di China sebagai menggantikan Piala Antara Benua yang dibatalkan
kerana wabak H1N1 dengan dikalahkan Nan Chang 81FC dan Shanghai Shenhua 3-2 dan
4-1 sebelum menumpaskan Shanghai Zhong Bang 2-1.
Anak buah Rajagobal juga mengikat
Selangor tanpa jaringan dan menewaskan skuad Bawah 23 Singapura, Young Lions
3-0.
Kedua-dua pasukan menjadikan
perlawanan ini sebagai medan persediaan awal menghadapi Sukan SEA Laos,
Disember ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XwXgM8N1
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment