Jumaat, 2 November 2018 | 7:36am
GAMBAR fail, bekas ketua Pasukan JDT, Safiq Rahim. - Foto Mohd Azren
Jamaludin
Safiq Rahim tinggalkan JDT
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai kedudukan Safiq Rahim bersama Johor Darul
Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab apabila dia bakal meninggalkan kelab Harimau
Selatan itu dan berkemungkinan menyertai kelab luar negara.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Beliau berkata, pemergian Safiq pasti dirasai memandangkan pemain tengah
itu banyak memberi sumbangan terhadap kejayaan JDT.
“Selamat maju jaya diucapkan kepada Safiq Rahim. Dari pandangan ikhlas
saya, beliau adalah pemain yang paling berjaya sekali dalam JDT dan sudah
banyak membantu JDT untuk mencapai matlamat-matlamat kami.
“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola
sepak terbaik yang bukan saja sudah memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga
kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya.
Safiq yang menyertai JDT pada 2013 membantu pasukan merangkul kejuaraan
utama iaitu Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut sejak 2014, Piala
Malaysia 2017, Piala FA 2016 dan Piala AFC 2015.
Bagaimanapun Tunku Ismail berkata, kelab itu sentiasa membuka pintu buat
Safiq kembali.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan tahu sama
ada Safiq akan kembali semula atau tidak suatu hari nanti. Saya pun tidak tahu.
“Pintu di Johor sentiasa terbuka untuk beliau dan walau apa pun,
setinggi-tinggi ucapan terima kasih dari saya, JDT dan semua penyokong serta
Keluarga JDT. Macam mana sekalipun, anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari
Keluarga JDT,” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu.
Bagaimanapun Tunku Ismail tidak mendedahkan destinasi bekas kapten Harimau
Malaya berusia 31 tahun itu yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke
Selangor dan PKNS FC.
Namun dalam satu jawapan balas JST kepada penyokong dalam ruangan komen
menyatakan bahawa Safiq berkemungkinan akan bermain di luar negara.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 2 November 2018 | 7:36am
No comments:
Post a Comment