ARKIB : 08/09/2009
ARWA binti Kuraiz adalah ibu
kepada Khalifah Usman bin Affan. Arwa berkahwin dengan Affan bin Abi al-Ash.
Hasil perkahwinannya, dia mendapat dua orang anak iaitu Usman dan Aminah. Dia
adalah srikandi yang terkenal dengan sifat dermawan, murah hati dan menghormati
orang lain.
Arwa adalah anak daripada hasil
perkahwinan Ummu Hakim binti Abdul Mutalib dan Kuraiz bin Rabiah. Arwa
mempunyai empat adik-beradik yang bernama Amir, Arwa, Talhah dan Ummu Talhah.
Selepas Arwa kehilangan suaminya
iaitu Affan, dia dilamar oleh Uqbah bin Abu Muith. Perkahwinan mereka mendapat
enam orang anak iaitu Wahid, Imarah, Khalid, Ummu Kalsum, Ummu Hakim dan
Hindun.
Arwa adalah ibu yang baik. Dia
adalah srikandi yang memainkan peranan penting semasa Usman mahu memeluk agama
Islam. Uqbah bin Abi Muith benci kepada Nabi Muhammad dan orang Islam. Uqbah
mendapat tahu Usman sudah berjinak-jinak dengan agama Islam. Uqbah menjadi
semakin marah, lalu berjumpa Arwa.
"Awak tahukah apa yang anak
awak lakukan sekarang?" tanya Uqbah kepada Arwa.
"Mengapa awak tanya begitu?
Apakah kesalahan yang Usman lakukan kepada awak?" tanya Arwa pula.
Yakin
Suami menjawab dengan pantas,
"Untuk pengetahuan awak, Usman sekarang sudah besar kepala. Dia tidak
hiraukan nasihat saya lagi. Usman sedang sibuk dengan agam Islam. Dia cuba
mempermainkan agama nenek moyang kita".
Arwa hanya mendengar cerita
suaminya, Kemudian suaminya berkata lagi, "Awak tidak malukah dengan
perangai Usman itu? Anak awak sibuk membantu Nabi Muhammad menyebarkan agama
Islam. Awak tidak malukah anak awak memuji dan mengagung-agungkan Nabi Muhammad
dan agama Islam?"
Lantas Arwa menjawab pertanyaan
suaminya, "Mengapa saya hendak malu dengan anak saya. Usman buat perkara
baik. Nabi Muhammad mengajar dia perkara yang baik-baik".
Uqbah meluat mendengar Arwa
memuji Nabi Muhammad dan agama Islam. Arwa berkata lagi, "Usman adalah
anak yang baik. Dia tidak pernah melawan dan membantah kata-kata saya. Sejak
dia mengikut ajaran Nabi Muhammad, sikapnya menjadi semakin baik. Biarkan dia
mengikut Nabi Muhammad. Saya juga suka dengan cara Nabi Muhammad".
Uqbah naik berang lalu berkata:
"Awak memang degil. Awak sengaja biarkan anak awak rapat dengan Nabi
Muhammad. Saya tidak akan beri sebarang pertolongan kepada awak sekiranya Nabi
Muhammad dan pengikutnya mengapa-apakan awak".
"Tidak mengapa Uqbah. Saya
yakin Nabi Muhammad itu baik hati," kara Arwa pula.
Uqbah menjadi semakin marah, lalu
meninggalkan Arwa sendirian. Kemudian, Usman pulang ke rumah. Dia melihat wajah
ibunya. Arwa pun menghampiri anaknya.
Arwa pun berkata, "Bapa tiri
awak sudah tahu awak bergiat aktif dengan agama Islam. Awak jangan bimbang, ibu
akan cuba pertahankan awak daripada diapa-apakan oleh bapa tiri awak itu".
Pada masa itu, Arwa dan suaminya
belum memeluk agama Islam. Mereka masih menganut agama nenek moyang mereka.
Usman begitu gembira mendengar ibunya menyokong kuat penglibatannya dalam agama
Islam.
Usman pun berkata kepada ibunya,
"Wahai ibu yang saya sayangi, marilah sama-sama kita menerima agama Islam.
Islam adalah agama yang baik dan benar. Ibu akan selamat di dunia dan di
akhirat apabila ibu menjadi Islam".
Arwa begitu terharu mendengar
penjelasan anal lelakinya itu. Kemudian, dia berkata kepada anaknya,
"Wahai Usman, ibu bangga dengan diri awak. Ibu juga tertarik dengan agama
Islam. Mulai pada hari ini, ibu mahu menjadi orang Islam."
Usman begitu gembira mendengar
berita daripada ibunya itu. Arwa kemudiannya berjumpa Nabi Muhammad dan
memberitahu kepadanya tentang niatnya itu. Arwa mengucap dua kalimah syahadah.
Arwa sah menjadi seorang Islam.
Bertuah
Selepas itu, Arwa berhijrah ke
Madinah. Anak perempuannya yang bernama Ummu Kalsum juga memeluk Islam dan
berhijrah ke Madinah. Menurut sejarah Islam, semasa Perang Badar, Uqbah ditawan
lalu dibunuh oleh tentera Islam.
Arwa begitu bertuah kerana
menjadi ibu kepada Usman bin Affan. Dia begitu dihormati oleh Nabi Muhammad.
Dia adalah ibu mentua yang baik kepada puteri Nabi Muhammad iaitu Ruqayyah dan
Ummu Kalsum.
Arwa meninggal dunia ketika
umurnya 90 tahun iaitu pada tahun 5 Hijrah. Usman begitu sedih dengan
kematiannya.
Usman bersembahyang di masjid
sendirian. Semasa dia bersujud, dia berdoa kepada Allah, "Ya Allah,
ampunilah dosa ibu saya. Saya begitu sayang kepada ibu. Ya Allah, kasihanilah
dan sayangilah ibu saya. Tempatkan ibu saya dalam golongan orang yang
baik-baik".
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YLbOBjTP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment