Jumaat, 9 November 2018 | 3:55pm
Norshahrul Idlan Talah. - Foto Hairul Anuar Rahim
Tuah 2010 Mat Yo kembali?
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Adakah skuad Harimau Malaya mengharapkan tuah Mat Yo untuk mengulangi kejayaan Piala AFF 2010?
Ini selepas penyerang paling senior berusia 32 tahun itu atau nama sebenarnya Norshahrul Idlan Talaha menyumbat gol kemenangan 1-0 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala AFF di Stadium Olimpik Phnom Penh semalam.
Kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan lapan tahun lalu di mana Norshahrul turut menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama ketika dibelasah pasukan tuan rumah Indonesia 5-1.
Bagaimanapun skuad negara masih berjaya meloloskan diri ke final untuk bertemu sekali lagi dengan musuh ketat itu sebelum merekod kemenangan agregat 4-2.
Bagi Norshahrul, dia berharap agar kejayaan memungut tiga mata dalam perlawanan pertama dapat meningkatkan semangat pasukan sebelum berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin ini.
“Alhamdulilah kita dapat tiga mata malam ini (semalam) dan untuk perlawanan seterusnya saya harap rakan-rakan dapat beri lebih komitmen,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu semalam.
Norshahrul tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan jurulatih Tan Cheng Hoe yang memberi peluang kepadanya tampil buat kali kelima sejak 2010 dengan menanduk masuk hantaran lintang Zaquan Adha Abd Radzak di minit ke-30 ketika menentang Kemboja.
Ia jaringan kelima peribadinya sepanjang kempen Piala AFF dan cukup penting buat skuad negara yang banyak mensia-siakan peluang untuk merobek gawang pasukan tuan rumah termasuk percubaan Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh yang terkena tiang.
Norshahrul yang kariernya kembali menyinar selepas menyertai Pahang mengakui masih ada kelemahan perlu diperbaiki dalam passukan Harimau Malaya.
“Untuk perlawanan seterusnya pemain akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk cari tiga mata lagi dengan Laos. Memang perlawanan malam ini (semalam) kita agak kelam kabut sedikit jadi saya harap rakan-rakan akan beri yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Enam mata maksimum pada dua perlawanan awal seharusnya menjadi buruan skuad Harimau Malaya dalam misi melayakkan diri ke separuh akhir kerana selepas itu mereka bakal berdepan pasukan pilihan Vietnam dan Myanmar.
SUMBER=BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 9 November 2018 | 3:55pm
No comments:
Post a Comment