ARKIB : 07/09/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Di awal Islam, masyarakat Arab
yang baru memeluk Islam masih lagi melakukan solat jemaah jauh di padang-padang
pasir supaya tidak diketahui oleh kaum kafir Quraisy. - Gambar Hiasan
KALAU dahulunya kaum kafir
Quraisy menentang Rasulullah SAW tanpa perlu menyentuh tubuh badan baginda.
Bahkan sehelai bulu roma baginda pun, mereka tidak akan cuba usik.
Cukup dengan kempen
memburuk-burukkan baginda, dirasakan Nabi Muhammad pasti akan menyerah kalah.
Ini kerana dengan cara kempen seperti itu, diyakini boleh memberi tekanan
kepada ketahanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu tidak lagi mampu
mempertahankan apa yang cuba diperjuangkan.
Namun mereka cukup marah apabila
strategi tersebut langsung tidak memberikan kesan kepada nabi SAW. Malah
semakin hebat mereka memburukkan baginda semakin hebat jugalah baginda
meneruskan usaha menyampaikan dakwah-dakwah agama Allah.
Malah baginda tidak teragak-agak
untuk terus meminta kaumnya supaya berhenti dari menyembah berhala serta
meninggalkan segala kekufuran dan kehidupan yang selama ini penuh dengan
kesesatan.
Akibat tidak lagi tertahan dengan
'kedegilan' Nabi Muhammad itu, maka akhirnya mereka bersetuju untuk mencederakan
tubuh badan baginda.
Menurut al-Bukhari di dalam
sahihnya bahawa Amru Ibn Al 'As menceritakan, pernah berlaku pada suatu hari,
ketika baginda berada berdekatan dengan batu Hajaral Aswad di Kaabah, secara
tiba-tiba datang seorang pemuda Arab Quraisy, 'Aqabah bin Abi Muit
(La'natullah) menyerang baginda. Pemuda itu terus menjerut leher Nabi Muhammad
dengan sehelai kain.
Jerutan yang begitu kuat itu
menyebabkan Nabi Muhammad tidak dapat bernafas dan hampir-hampir meragut nyawa
baginda.
Mujurlah ketika itu sahabat baik
baginda, Abu Bakar As Siddiq kebetulan lalu di tempat kejadian dan terus
menyelamatkan Nabi Muhammad dari terus menjadi mangsa jerut Aqabah.
Abu Bakar begitu marah dengan
cubaan Aqabah itu lalu menjerkah dengan nada yang tinggi; "Adakah kamu
mahu membunuh seseorang yang hanya berkata: Tuhanku ialah Allah?"
Namun peristiwa ini sama sekali
tidak mematahkan semangat baginda dan menyerahkan kepada Allah supaya dirinya
tidak diapa-apakan lagi di masa hadapan.
Namun dalam satu peristiwa lain,
nyawa baginda benar-benar hampir melayang, kali ini di tangan musuh Islam yang
paling jahat, si Abu Jahal. Abu Jahal yang dikatakan bukanlah orang lain kepada
baginda tetapi yang selama ini duduk berjiran dengan Nabi Muhammad.
Terlalu geram
Mungkin akibat terlalu geram yang
tidak boleh ditahan-tahan lagi, Abu Jahal tanpa berfikir panjang kecuali
ditambah lagi dengan hasutan syaitan, dia cuba menghempaskan sebongkah batu
yang besar ke atas kepala Nabi Muhammad.
Satu tindakan untuk terus membunuh
baginda setelah baginda dianggap menjadi satu ancaman besar kepada golongan
kaum Quraisy Mekah.
Sebagai kekasih-Nya, mujur
baginda dapat diselamatkan oleh Allah dalam cubaan jahat itu, malah Abu Jahal
terus mencampakkan batu itu dan lari lintang pukang dengan wajah yang penuh
ketakutan.
Apabila ditanya apa yang telah
berlaku oleh kawan-kawannya yang lain, Abu Jahal dengan keadaan
termengah-mengah itu pun memberitahu: "Ketika aku hampir-hampir hendak
mencampakkan batu besar itu ke arah Muhammad, secara tiba-tiba datang seekor
unta yang sangat besar dengan mengeluarkan bunyi menakutkan sambil mengangakan
mulut sebesar-besarnya seperti hendak menelan aku!
"Apa lagi, lintang pukang
aku terpaksa lari menyelamatkan diri. Pelik, tidak tahu aku dari mana arah
datangnya unta yang sangat besar itu. Tiba-tiba sahaja ia muncul. Maka
terselamat lagi nyawa si Muhammad dari tangan ku ini!" katanya.
Namun kawan-kawannya itu tidak
dapat menyebelahi apa lagi simpati terhadap nasib yang menimpa Abu Jahal
kecuali mereka mentertawakannya seperti hendak pecah perut.
Ini menyebabkan Abu Jahal semakin
marah dan terus menaruh dendam dan tetap bertekad untuk menghapuskan Nabi
Muhammad.
Sebuah lagi kisah seorang kafir
Quraisy yang melakukan satu cubaan jahat terhadap Nabi Muhammad, iaitu Uqbah
Abi Mu'it. Pada suatu hari ketika Nabi Muhammad sedang bersujud ketika
melakukan ibadat solat, tiba-tiba datang si Uqbah dan terus meletakkan seketul
besar perut unta ke atas belakang baginda.
Akibat terlalu berat, baginda
tidak dapat bergerak atau bangun dari sujud apabila perut haiwan itu diletakkan
di belakangnya. Sehinggalah datang puteri baginda, Fatimah Az Zahra yang
terkejut melihat keadaan ayahandanya itu lalu terus membuang perut itu dan
membersihkan belakang baginda dari sisa-sisa kotoran organ haiwan itu.
Sambil menangis sedih, Fatimah
kemudiannya berdoa untuk orang yang melakukan kejahatan terhadap ayahandanya
dan Nabi Muhammad sendiri turut sama-sama berdoa dengan sabda baginda yang
bermaksud;
"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku
serahkan kepada-Mu urusan membalas ke atas muka-muka Quraisy yang cuba
menghalang dari dakwah mu tersebar, Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabiah,
Syaibah bin Rabiah, Uqbah bin Abi Muit dan Umaiyyah bin Khalaf".
Begitupun perbuatan untuk
menyakiti baginda tidak pernah terhenti. Semakin kuat Islam bertapak, semakin
banyak tindakan seperti itu diambil terhadap baginda.
Kisah Ummu Jamil misalnya,
bagaimana isteri kepada Abu Lahab (nama sebenar Abdul Uzza bin Abdul Mutalib
namun sering dipanggil Abu Utaybah dan dan dipanggil Abu Lahab kerana dikatakan
mempunyai wajah yang cerah) itu atau lebih tepat ibu saudara Nabi turut begitu
memusuhi anak saudaranya sendiri.
Ummu Jamil atau nama sebenarnya
Arwah (sesetengah dieja Arwa) binti Harb bin Umayyah, adik kepada Abu Suffian
adalah ketua golongan wanita Quraisy yang berpengaruh, begitu menyokong
tindakan suaminya dengan beliau sendiri melakukan pelbagai perkara buruk kepada
Nabi Muhammad.
Beliau tidak sahaja selalu
mencerca baginda di sana sini, tidak cukup itu Ummu Jamil sering menyakiti Nabi
SAW dengan selalu menaburkan duri-duri tajam dan melemparkan segala macam
kekotoran di atas jalan yang sering menjadi laluan harian baginda.
Bukan sedikit yang cuba menyakiti
Nabi Muhammad secara fizikal termasuk pelbagai cubaan untuk membunuh baginda
itu sendiri. Sedangkan jika perkara ini dilakukan, sama ada menyakiti baginda
secara perkataan mahupun perbuatan, maka di sisi Islam, ia merupakan perkara
yang sangat terkutuk dan dimurkai Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah akan
melaknati mereka (mengutuk) di dunia dan di akhirat dan akan disediakan bagi
mereka akan azab seksa yang menghinakan. (al-Ahzab: 57)
Firman-Nya lagi: ...dan mereka
yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang pedih. (at-Taubah:
61)
Laknat Allah terhadap mereka yang
cuba menyakiti Rasulullah tetap akan terpakai sampai bila-bila, hatta pada hari
ini walaupun baginda tidak lagi dapat disakiti pada tubuh badannya.
Musuh-musuh Islam sama ada yang
di kalangan bukan Islam dan dalam kelompok Islam itu sendiri yang cuba
menyakiti baginda dengan apa juga cara terutama membuat pelbagai bentuk
penghinaan tidak akan terlepas dari mendapat balasan pedih dari Allah.
Sekalipun penghinaan dibuat atas
nama kejahilan atau ikut-ikutan, masih itu juga bukan alasannya bagi seseorang
itu menghina baginda.
Malah lebih bahayanya pada hari
ini, atas nama kekuatan ilmu untuk memerangi Islam, ramai yang masih mengkaji
bagi mencari sudut-sudut kelemahan Nabi Muhammad sebagai alasan untuk menghina
baginda.
Mereka suka mengelirukan orang
ramai dari fakta-fakta sejarah baginda. Namun kita yakin segalanya akan kembali
seperti yang berlaku di Mekah pada awal penyebaran Islam itu sendiri.
Ini apabila golongan Musyrikin
sendiri tetap menghadapi kesulitan di dalam mereka mengambil pelbagai tindakan
terhadap baginda Nabi Muhammad.
Ini kerana 'musuh' yang mereka
berdepan adalah seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia
akhlaknya yang tiada tandingannya dalam sejarah nenek moyang mereka.
Oleh itu terpaksalah mereka
berhempas pulas mengerah kekuatan akal bagi menyekat baginda dari menarik lebih
ramai kalangan penduduk Arab meninggalkan agama nenek moyang.
Ini memberi ilham kepada mereka
untuk menyeksa para pengikut baginda sendiri!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YLRAlVOT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment