ARKIB : 11/08/2009
NAILAH binti Farafisyah adalah
isteri Uthman bin Affan, Khalifah ketiga empayar Islam selepas kematian Nabi
Muhammad. Nailah lahir dalam keluarga Kristian di kota Kufah sebelum memeluk
Islam di atas pelawaan Aishah binti Abu Bakar.
Nailah berkahwin dengan khalifah
Uthman pada tahun 29 Hijrah.Apabila Uthman dilantik sebagai khalifah ketiga,
banyak jawatan penting dipegang oleh keturunan Umaiyah. Di antaranya
termasuklah Marwan bin al-Hakam sebagai setiausahanya. Beliau selalu mencampuri
urusan pemerintahan negara. Ini mengakibatkan mula timbul rasa tidak puas hati
pada masyarakat Islam.
Pada suatu hari, Marwan
memberitahu ada sekumpulan orang di sebalik pintu rumah Usman. Uthman
membenarkan Marwan berkata apa sahaja kepada kumpulan orang itu.
Marwan mengeluarkan kata-kata
kesat berbunyi, "Kamu semua datang merebut kerajaan daripada tangan kami.
Keluarlah kamu daripada pihak kami. Demi Allah, sekiranya kamu membangkang
kami, pasti kamu semua akan menghadapi kesulitan dan tidak suka pada akibatnya".
Perbuatan Marwan mengeluarkan
ucapan kasar kepada kumpulan orang yang berkunjung ke rumah Uthman menimbulkan
kemarahan Ali.
Ali bergegas ke rumah Uthman dan
berjumpa dengannya. Ali berkata kepada Usman dengan nada marah, "Kenapa
kamu mengizinkan Marwan berkata apa sahaja kepada kumpulan orang yang datang
tadi? Demi Allah, Marwan tidak layak diminta pandangan tentang agama atau
dirinya sekalipun".
Nailah yang terkejut mendengar
kata-kata Ali terus berlari mendapatkan suaminya yang masih duduk membatu
selepas Ali meninggalkan rumah itu.
"Saya dengar kata-kata Ali
yang dia tidak akan berjumpa kamu lagi kerana kamu mengikut kata-kata
Marwan".
"Apa pendapat kamu tentang
hal ini," kata Khalifah Uthman kepada Nailah.
"Takutlah kepada Allah
kerana tidak sekutu baginya. Ikutlah sunnah kedua sahabat kamu iaitu Abu Bakar
dan Umar. Sekiranya kamu mengikut kata Marwan, nescaya dia akan membunuh
kamu," kata Nailah.
"Marwan adalah orang yang
tidak memiliki maruah di sisi Allah, apatah lagi rasa takut dan cinta.
Hantarlah utusan berjumpa Ali bagi berdamai kerana dia mempunyai hubungan
kekeluargaan dengan kamu. Dia tidak layak dimusuhi," Nailah memberikan
pendapatnya.
Khalifah Uthman segera menghantar
seorang utusan kepada Ali tetapi Ali menolak kedatangannya lalu berkata:
"Saya telah memberitahu Khalifah Usman bahawa saya tidak akan kembali
lagi".
Pada tahun 35 hijrah, satu
rombongan penduduk Mesir sekitar 1,000 orang telah datang ke Madinah untuk
berjumpa Khalifah Uthman. Tujuan mereka ialah meminta Khalifah Uthman
menggantikan gabenor Mesir. Khalifah Usman bersetuju dengan permintaan mereka
lalu melantik Muhammad bin Abu Bakar. Mereka pulang dengan hati yang gembira.
Namun demikian, ketika berada
tiga hari perjalanan dari Madinah, mereka terserempak dengan hamba kulit hitam menaiki
unta dengan tergesa-gesa melintas di hadapan mereka. Mereka menahan unta
tersebut kerana mengesyaki ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
"Anda mahu ke mana dengan
tergesa-gesa?," soal salah seorang ahli rombongan Mesir itu.
"Saya adalah pembantu
Khalifah Uthman yang diutus bagi menemui Gabenor Mesir," jawab hamba itu
dengan pantas.
"Kamu utusan siapa?,"
tanya ahli rombongan itu untuk kepastian.
"Saya pembantu Khalifah
Uthman". Jawab hamba itu dengan gagap dan ragu dan kadang kala dia
menjawab: "Saya pembantu Marwan".
Mereka mengeluarkan surat dari
beg bawaan hamba itu lalu diserahkan kepada Muhammad bin Abu Bakar untuk
membacanya.
Semua ahli rombongan terkejut
apabila mendengar isi surat yang bercop mohor Khalifah Uthman meminta agar
gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor.
Kemudian dia mesti membunuh
Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya dan membatalkan surat
pelantikannya sebagai gabenor yang baru. Rombongan itu menjadi marah lalu
berpatah ke Madinah untuk menunjukkan surat itu kepada Ali.
Ali bersama beberapa sahabat
bertemu dengan Khalifah Uthman untuk melihat kebenaran surat itu. Dia menafikan
menulis surat itu dan bersumpah dengan nama Allah.
Kemudian mereka menjalankan
penyiasatan dan terbongkarlah rahsia, Marwan yang menulis surat itu. Mereka
meminta Khalifah Uthman menyerahkan Marwan kepada mereka namun dia tidak
bersedia melakukannya.
Mereka mengepung rumah khalifah
dan menghalang bekalan air ke rumahnya. Mereka mengepung rumahnya selama 30
hari dan mula kedengaran berita ada orang ingin membunuhnya.
Ali meminta anaknya, Hasan dan
Husain dan beberapa orang sahabat mengawal pintu rumah Khalifah Usman daripada
dicerobohi oleh pihak pemberontak Mesir.
Cubaan menyerbu masuk ke rumah
Khalifah Uthman digagalkan oleh Hasan dan Husain serta sahabat menyebabkan
pihak pemberontak mencari jalan lain untuk masuk ke dalam rumah khalifah untuk
membunuhnya.
Akhirnya tiga orang pemberontak
berjaya masuk ke dalam rumah Khalifah Uthman melalui atap rumah.
Ghafiqi terus memukul Khalifah
Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya.
Khalifah Uthman tidak melepaskan
al-Quran dari tangannya dan darah menitis dari mukanya lalu jatuh ke atas muka
surat al-Quran yang terbuka itu.
Kemudian Sudan pula menghampiri
Khalifah Uthman, lalu dilibas pedangnya ke arah khalifah itu tetapi Nailah
menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jarinya.
Sudan yang hilang peri
kemanusiaan terus menetak Khalifah Uthman beberapa kali sehingga dia gugur
syahid.
Najih, anak Khalifah Uthman terus
menerkam ke arah Sudan lalu membunuhnya. Qatirah seorang lagi ahli pemberontak
membunuh Najih.
Para pemberontak cuba menganiaya
mayat Khalifah Uthman, namun jeritan tangisan Nailah mengejutkan Hasan dan Husain
yang mengawal di pintu hadapan.
Mereka meluru masuk untuk melihat
apa yang berlaku. Mereka sedih melihat Khalifah Uthman mati terbaring bersama
anaknya dan mereka gagal menghalang pembunuhan itu.
Beliau meninggal dunia pada tahun
35 Hijrah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YJyqGXoR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment